• newsatmy

Euro 2020: Shaw semakin bagus dalam setiap perlawanan -Mourinho

5 Julai 2021

Jose Mourinho memberikan pujian melambung buat Luke Shaw berikutan aksi terpuji yang dipamerkan pemain itu ketika membantu England menewaskan Ukraine dalam Euro 2020.


Pertahanan kiri Manchester United itu diundi sebagai pemain terbaik The Three Lions selepas menghasilkan dua bantuan jaringan ketika memperoleh kemenangan 4-0 dalam perlawanan suku akhir itu di Rome awal pagi semalam.


Shaw kelihatan sudah mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan utama Gareth Southgate selepas turut mempamerkan peningkatan ketara di bawah kendalian pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, musim ini.


Bekas pemain Southampton itu menikmati tempoh 18 bulan terakhir ini, yang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan sewaktu Mourinho menguruskan pasukan itu di Old Trafford, di mana dia sering menjadi mangsa kritikan pengurus Portugis berkenaan.


Mourinho sekali lagi menjadikan Shaw sebagai sasaran kritikannya selepas England menewaskan Republik Czech di peringkat kumpulan dengan mendakwa cara Shaw mengambil sepakan penjuru "amat buruk".


Ia membuatkan Shaw memberikan respons dengan berkata bekas pengurusnya itu mempunyai agenda peribadi yang pelik dan menambah: "Amat jelas saya sentiasa berada dalam mindanya."


Bagaimanapun, Mourinho kelihatan lebih daripada kagum dengan aksi Shaw di ibu kota Itali itu sambil berkata dengan prestasi yang ditunjukkan barisan pertahanan England, Southgate perlu menahan godaan untuk menggunakan semula formasi dengan tiga pertahanan menjelang perlawanan separuh akhir dengan Denmark.


"Persoalannya, adakah England perlu bermain dengan tiga pertahanan seperti yang mereka lakukan ketika berdepan Jerman? Pada pandangan saya tidak," katanya kepada talkSPORT.


"Empat pertahanan mereka benar-benar ampuh. Luke Shaw semakin hari semakin bagus, semakin bagus dan semakin bagus. Kyle Walker pula sedang menikmati kejohanan yang hebat.


"Dua pertahanan tengah mereka juga amat kukuh dan keempat-empat pertahanan mereka sedang menikmati Euro yang hebat, di mana kesemua pemain tengah mereka sudah melakukan lebih daripada mencukupi untuk mengawal serangan Denmark.


"Kemudian, anda mempunyai empat pemain lain untuk menentukan kreativiti dalam perlawanan tu. Ia bahagian di mana Gareth mungkin mempunyai keraguan.


"Saya percaya apabila beraksi di Wembley, England akan menjadi ampuh seperti kebiasaan tetapi anda perlu mencuba untuk memenangi perlawanan itu secepat mungkin kerena mereka mampu melakukannya dan saya tidak fikir mereka perlu kembali menggunakan tiga pertahanan seperti yang mereka lakukan ketika menentang Jerman," katanya.