top of page
  • newsatmy

Euro 2020: Ukraine musnah impian Sweden pada minit ke-120

30 Jun 2021

SWEDEN 1 UKRAINE 2


Artem Dovbyk diangkat selaku wira apabila membawa Ukraine ke suku akhir Euro 2020 dengan kemenangan luar biasa 2-1 ke atas Sweden pada saat-saat akhir masa tambahan dalam pertembungan di Hampden Park, awal pagi tadi.


Sweden lebih bernafsu pada awal permainan sebelum Ukraine yang diterajui Andriy Shevchenko menghasilkan percubaan tepat pertama melalui rembatan rendah Roman Yaremchuk hingga memaksa Robin Olsen merebahkan badannya.


Malah, Ukraine terlebih dahulu menceriakan penyokong mereka sebelum setengah jam usia permainan yang menyaksikan Oleksandr Zinchenko, yang tidak dikawal, melepaskan satu voli deras untuk menggegar jaring lawan sungguhpun sempat dijangkau Olsen.


Sweden tetap membara dan berhasil menyamakan kedudukan menuju akhir babak pertama menerusi percubaan jarak jauh Emil Forsberg dan selepas rehat, penyerang itu dua kali dikecewakan tiang.


Pertahanan, Marcus Danielson, yang mewakili kelab China, Dalian Pro, kemudian membuatkan Sweden pincang apabila dihadiahkan kad merah pada awal masa tambahan gara-gara terjahan kerasnya ke lutut Artem Besedin hingga mengakibatkan penggempur itu gagal meneruskan permainan.


Ketika semua pihak mula terbayang penentuan penalti, Zinchenko menjadi tunjang pasukannya apabila menghasilkan umpanan tepat yang disudahkan pemain gantian, Dovbyk , pada minit ke-120 bagi menghitung pertemuan dengan England di peringkat suku akhir, awal pagi Ahad ini.


- PN Online

bottom of page