top of page
  • Writer's pictureNihaba

Fadzilah, Suhainna pimpin Srikandi Muda BERSATU


KUALA LUMPUR, 4 Ogos – BERSATU bersetuju melantik Nurul Fadzilah Kamaluddin sebagai Ketua Sayap Srikandi Muda (Penaja) dan Suhainna Jamri sebagai Naib Ketua Sayap Srikandi Muda (Penaja) bagi menyuntik kekuatan baharu jentera parti dalam kalangan golongan muda.

Turut dilantik, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, Dr Chong Fat Full sebagai Ketua Sayap Bersekutu BERSATU yang baharu berkuatkuasa serta merta.


Pelantikan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini.

“Pelantikan-pelantikan ini adalah sebahagian daripada ketetapan penting bagi melengkapkan struktur organisasi pilihan raya parti di peringkat pusat dan ianya juga mencerminkan kesiapsiagaan BERSATU menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 pada bila-bila masa.

“Bagi terus merancakkan penglibatan ahli-ahli Bersekutu dalam gerak kerja jentera parti, mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk melantik Dr. Chong Fat Full sebagai Ketua Sayap Bersekutu BERSATU yang baharu berkuatkuasa serta merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Hamzah berkata Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU semalam dipengerusikan oleh Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Beliau berkata dalam mesyuarat itu telah merakamkan ucapan setinggi tahniah atas kejayaan besar Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Negeri Terengganu yang mendapat sambutan luar biasa pada Sabtu lalu.

“Selain itu, mesyuarat juga membincangkan secara terperinci dan memuktamadkan beberapa strategi serta pendekatan khusus BERSATU bagi memperkukuh jentera dan menambah baik gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

bottom of page