top of page
  • newsatmy

FAM lantik Elavarasan Ketua Jurulatih B-23 Kebangsaan


Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mengumumkan Penolong Ketua Jurulatih Kebangsaan, E Elavarasan sebagai Ketua Jurulatih Bawah 23 (B-23) Kebangsaan yang baharu sebagai persediaan pasukan menghadapi beberapa kejohanan utama, tahun depan. Ini termasuk Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja (Mei 2023), Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China (September 2023) serta Kelayakan Piala Asia B-23 2024 yang juga Kelayakan Olimpik 2024.


FAM turut memperkenalkan barisan kejurulatihan Skuad B-23 Kebangsaan, iaitu Juan Torres Garrido dari Sepanyol sebagai Penolong Ketua Jurulatih; Jihyeon Park dari Korea Selatan sebagai Jurulatih Kecergasan; Lee Jeyoon juga dari Korea Selatan sebagai Jurulatih Analisis Prestasi serta Kris Yong daripada barisan kejurulatihan sebelum ini yang dikekalkan sebagai Jurulatih Penjaga Gol.


Sidang media yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini, turut dihadiri oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Dato’ S Sivasundaram; Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Ayub; Setiausaha Agung FAM yang baharu, Noor Azman Haji Rahman; Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell serta EXCO FAM, Christopher Raj sebagai moderator sidang media.


Walaupun dilantik sebagai Ketua Jurulatih B-23 Kebangsaan, Elavarasan, 60, kekal sebagai Penolong Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon, untuk menjadi penghubung kepada kedua-dua pasukan berkenaan.


Jawatan Ketua Jurulatih B-23 Kebangsaan kosong selepas FAM pada 13 Julai lalu melepaskan pengendali dari Australia, Brad Maloney secara persetujuan bersama oleh kedua-dua belah pihak. – FAM

bottom of page