top of page
  • newsatmy

Fama bantu usahawan rentas negeri

14 NOVEMBER 2021

KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) kini berusaha mengumpul usahawan yang berminat untuk mengikuti program pemasaran merentas negeri.


Program baharu diperkenalkan itu memberi peluang kepada usahawan tempatan menjual produk keluaran mereka di pasar tani di Semenanjung.


Pengarah Fama Pahang, Saiful Sadri berkata, pihaknya kini sedang giat berusaha untuk menyenaraikan seberapa ramai usahawan yang berminat untuk mengikuti program pemasaran merentas negeri.


Menurutnya, program berkenaan khusus hanya untuk memasarkan produk agro makanan sahaja terutama membabitkan makanan ringan seperti kerepek, keropok, kuih kering, jagung dan buah-buahan tempatan.


“Kita akan aturkan pasar tani yang sesuai untuk usahawan berniaga dan usaha berkenaan turut mendapat kerjasama Fama negeri yang turut menyediakan beberapa kemudahan lain.


“Saya yakin menerusi program pemasaran merentas negeri akan memberi pendapatan yang menguntungkan kepada golongan usahawan negeri ini,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mengiringi lawaran Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan.


Saiful berkata, menerusi program pemasaran merentas negeri Fama Pahang telah menerima kehadiran usahawan Melaka yang datang berniaga makanan ringan seperti kerepek pisang di pasar tani UTC Kuantan.


Sementara itu, Abd Rahim berkata, program pemasaran merentas negeri diharap dapat memperkenalkan pelbagai produk agro makanan negeri ini kepada negeri lagi.


“Saya berharap Fama Pahang dapat membantu usahawan negeri ini mendapat pendapatan lebih menerusi program pemasaran merentas negeri,” katanya.

bottom of page