top of page
  • zaman

FDI penting tetapi dasar modal tidak seharusnya memihak kepada kelompok berkepentingan - PM Anwar


KUALA LUMPUR 7 Jan : Tumpuan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) adalah penting bagi ekonomi Malaysia namun kerajaan perlu sentiasa menjaga dan mengawal dasar modal agar tidak memihak kepada kelompok berkepentingan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan asing penting bagi sesebuah negara dagang seperti Malaysia dan tidak dinafikan ekonomi negara telah banyak berkembang sekitar tahun 80-an dan 90-an terutamanya, menerusi kemasukan FDI.


Beliau berkata kemasukan pelaburan asing memberi faedah kepada ekonomi melalui peluang pekerjaan, kenaikan pendapatan rakyat dan menjana pendapatan kepada negara. "(Bagaimanapun) negara perlu membuat pilihan yang bijak sama ada (menjana) pendapatan yang besar untuk (tujuan) apa? Nak bina projek mega dan gedung atau nak menjaga masalah rakyat terutama dalam bidang pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas.

"Bagi saya tumpuan kita adalah menarik pelabur, ini sangat penting bagi Malaysia. Kelulusan mesti cepat, dasar mesti jelas, dan mesti pro-peniaga, tetapi menjaga dan mengawal supaya dasar modal (kapitalisme) jangan memihak kepada kelompok mereka," katanya dalam program Naratif Khas bersama YAB PM yang disiarkan secara langsung oleh RTM malam tadi.


Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan mempunyai tanggungjawab dalam memastikan rakyat didedahkan dengan pemahaman mengenai setiap kontrak, projek dan dasar yang diperkenalkan.


Menurutnya, beliau turut mengingatkan tokoh perniagaan dan badan korporat menerusi sesi dialog bersama bahawa kerajaan berperanan menjana pertumbuhan negara namun dalam masa yang sama turut bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat termasuk nasib para pekerja.


Berhubung soalan memperkasakan imej Malaysia di persada antarabangsa, Perdana Menteri berkata beliau menerima banyak reaksi positif daripada pemimpin negara-negara Islam, Eropah, dan China susulan peralihan kuasa pentadbiran di Putrajaya.


Anwar berkata tidak dinafikan Malaysia perlu memainkan peranan dalam soal pembelaan nasib rakyat Palestin mahupun isu antarabangsa yang lain namun perhatian kerajaan pada peringkat awal pentadbiran ketika ini adalah menumpukan sepenuhnya kepada isu domestik, ekonomi negara, peluang pekerjaan, kos sara hidup dan perumahan rakyat.


"Kalaupun saya terpaksa ke Indonesia, kemudian ke Brunei dan negara-negara jiran (yang lain), ini adalah kerana mempertahankan semangat kejiranan yang dilakukan oleh setiap pemimpin baru untuk melawat dan menzahirkan semangat persahabatan diantara negara," katanya.

-- BERNAMA

Comments


bottom of page