top of page
  • newsatmy

FELDA lepasi tarikh akhir menjadikan FGV syarikat persendirian.

16 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) gagal dalam usahanya untuk mengambilalih semua baki saham tidak dimilikinya dalam FGV Holdings Bhd dan menjadikan syarikat perladangan itu persendirian.


FELDA hanya memperoleh 81 peratus saham kumpulan perladangan itu apabila tawaran ditutup pada jam 5 petang pada Isnin, selepas beberapa kali tarikh akhir tawaran ditangguhkan sejak 2 Februari lalu.


"Jumlah saham yang dipegang FELDA dan pihak yang bertindak bersama dengannya (PAC) dalam FGV adalah sebanyak 80.99 peratus dengan 2,954,785,491 saham. FELDA juga menerima 455,800 saham atau 0.1 peratus dari pemegang saham yang menerima tawaran pengambilalihan," kata Maybank Investment Bank Bhd dalam satu kenyataan bagi pihak FELDA.


FELDA sebelum ini bercadang untuk memperoleh baki pegangan dalam FGV pada harga tawaran RM1.30 sesaham dan tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian syarikat perladangan itu di Pasaran Utama Bursa Securities.


Bagi tujuan itu, FELDA perlu memperoleh 90 peratus saham yang tidak dimilikinya daripada penerimaan tawaran pengambilalihannya untuk mencetuskan perolehan saham wajib dan menjadikan syarikat perladangan itu persendirian.


-Berita Harian

bottom of page