• newsatmy

FGV terap langkah cari pekerja yang beretika selepas sempadan dibuka

19 Disember 2021

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd telah menyediakan perlindungan tambahan dan langkah-langkah usaha wajar termasuk mekanisme penilaian pra-penyumberan, untuk menyelaraskan prosedur merekrut pekerja dengan amalan terbaik melalui pengambilan yang bertanggungjawab dan beretika.


Ini terkait dengan jangkaan keputusan kerajaan untuk membuka semula sempadan Malaysia kepada pengambilan pendatang baharu sebagai buruh, kata FGV, yang mengupah kira-kira 20,000 imigran.


FGV mengulangi komitmennya terhadap hak asasi manusia dan menyertai seruan bagi mengiktiraf pekerja asing selayaknya serta yang lebih penting, untuk menggalakkan pematuhan yang lebih besar terhadap hak mereka.

"FGV komited untuk mengukuhkan amalan buruhnya ke arah memastikan hak pekerja asing dihormati dan dilindungi sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan Hari Migran Antarabangsa.


Untuk tujuan ini, FGV telah mendedikasikan banyak usaha dan sumber dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang bertujuan mempromosikan dan melindungi hak pekerja termasuk buruh asing.


Ia telah melabur RM350 juta bagi membina 319 blok perumahan pekerja baharu sejak tiga tahun lepas, FGV juga telah memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM43 juta pada 2021 untuk meningkatkan lagi kemudahan pekerjanya.


Ini termasuk membaik pulih perumahan lama di 169 ladang dan menaik taraf peralatan bagi memastikan bekalan elektrik serta air tidak terganggu, terutamanya di kawasan yang tidak mempunyai akses kepada grid tenaga kebangsaan dan bekalan air yang disediakan oleh kerajaan.


Bagi meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan untuk pekerja, FGV telah menubuhkan 13 klinik di ladang-ladang terpencil, dengan bimbingan dan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.


FGV juga memenuhi tanggungjawabnya untuk memastikan semua pekerja termasuk pekerja asing mendapatkan vaksinasi yang diperlukan sebagai perlindungan daripada COVID-19.



-- BERNAMA