• newsatmy

Filem 18 Puasa di Kampong Pisang raih RM3 juta

26 April 2021

KUALA LUMPUR: Selepas 10 hari ditayangkan di Astro First, filem 18 Puasa di Kampong Pisang arahan sutradara terkenal, Mamat Khalid meraih kutipan RM3 juta.


Filem hasil gabungan dua karya 'masterpiece' Mamat iaitu Kampong Pisang dan 16 & 17 Puasa itu mencatat rekod sebagai filem tempatan paling laris di Astro First, tahun ini.


Astro First dalam kenyataannya menyebut, sambutan hangat penonton mengembalikan keyakinan ramai terutama peminat filem Melayu untuk terus menyokong karya tempatan.


Mengulas kejayaan filem garapannya meraih kutipan tinggi, Mamat berterima kasih kepada penonton yang memberi sambutan baik terhadap 18 Puasa di Kampong Pisang.


"Alhamdulillah, biarpun tayangan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang dalam era normal baharu, namun, atas sambutan positif penonton, filem ini mampu mencatatkan kutipan sebanyak itu dalam tempoh 10 hari.

"Insya-Allah, nantikan karya seterusnya tayangan eksklusif di Astro," katanya dalam kenyataan.


18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran pada bulan Ramadan.


Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, tiba-tiba berlaku satu insiden. Dia didatangi iblis dan membawa Barkoba kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.


Antaranya, Barkoba mengabaikan zakat, menganiaya orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang.


Selain Bell Ngasri, filem ini turut dibintangi Siti Elizad, Joey Daud, Man Raja Lawak, Jaafar Onn, Aziz M Osman dan ramai lagi.


-Berita Harian