top of page
  • newsatmy

Finas ingin syarikat produksi mengamal SOP yang sepatutnya.

4 mac 2021


KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mahu syarikat produksi berpegang prosedur operasi standard (SOP) ketat dan menghormati kebebasan diberi kerajaan untuk meneruskan aktiviti penggambaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).


Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, berkata pihaknya yakin pengalaman penggiat industri kreatif dalam penerapan normal baharu dan SOP dalam penggambaran hingga tiada kluster tercetus, membolehkan sektor penerbitan bebas daripada penularan COVID-19.


"Warga industri kreatif diingatkan agar sentiasa peka dengan pematuhan SOP walaupun operasi syarikat produksi dan pawagam sudah dibenarkan seperti biasa," katanya kepada BH Online.


Sejak penularan COVID-19 tahun, sektor industri kreatif yang terjejas teruk, belum merekodkan kluster berpunca daripada operasi di lapangan setiap kali kebenaran menyambung aktiviti diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Kelantan, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Kerajaan turut mengumumkan pelaksanaan PKPP di Melaka, Pahang, Terengganu, Perlis, Sabah, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan mulai esok hingga 18 Mac depan.


FINAS turut mengumumkan aktiviti penggambaran dan operasi pawagam di kawasan yang dikuatkuasakan PKPB dan PKPP dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan semua garis panduan dan SOP digariskan MKN.


Ini meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan pekerja serta tindak balas kecemasan.


Zakaria berkata, syarikat produksi dibenarkan menjalankan penggambaran di lokasi luar atau 'outdoor' dengan mematuhi SOP.


"Sebelum ini, kita sudah melalui PKPB dan PKPP di mana aktiviti penggambaran dibenarkan, tidak kira bagi lokasi 'indoor' atau 'outdoor.


"Ini berbeza ketika PKP di mana kebenaran menjalankan penggambaran hanya diberi untuk lokasi 'indoor' atau dalam studio," katanya.


Zakaria berkata, syarikat produksi juga dibenar melakukan kerja penggambaran dalam sebuah negeri ketika ini, berikutan pergerakan rentas daerah sudah dibenarkan kecuali di Sabah.


"Cuma, buat masa ini, pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan. Jadi kami berharap penggiat industri kreatif dapat menarik nafas lega dan kembali meneruskan perancangan yang tertangguh," katanya.


Zakaria berkata, pengurus produksi boleh melayari laman web MKN bagi mendapatkan butiran SOP bagi aktiviti penggambaran.


"Antara SOP yang ditetapkan MKN adalah penjarakan fizikal iaitu sekurang-kurangnya semeter dan pemakaian pelitup muka oleh setiap pekerja di kawasan umum yang diwajibkan.


"Selain itu, syarikat produksi perlu menyediakan cecair pembasmi kuman ketika bekerja di lapangan. Pekerja perlu kerap mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan cecair pembasmi kuman.


"Alat saringan suhu badan juga perlu disediakan sebelum kru dan pelakon memasuki sesuatu premis.


"Pekerja yang mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah selsius tidak dibenarkan memasuki premis," katanya.


Zakaria berkata, aktiviti acara langsung hanya dibenarkan tanpa penonton dengan jumlah pengurusan, artis dan kru terhad kepada 70 peratus daripada kapasiti biasa.


"Syarikat produksi juga perlu mengehadkan jumlah kru dan artis yang terbabit serta memastikan pergerakan mereka dalam gelembung sama sepanjang tempoh aktiviti itu," katanya.


Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim.


Sementara itu, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim, bersyukur MKN dan FINAS merangka SOP bagi sektor industri kreatif kembali berkerja.

Ahmad yang lebih dikenali sebagai Mat London berkata, kebenaran meneruskan penggambaran menjadi berita melegakan buat warga industri kreatif yang menerima impak PKP 2.0.


"Bagaimanapun, persatuan berharap ahli mematuhi SOP dengan lebih ketat agar dapat beritahu kepada masyarakat, kita serius ketika bekerja.


"Kami hormati setiap saranan dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa serta akur dengan pergerakan kawalan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan.


"Melihat rekod lalu, tiada lagi kluster dalam kalangan warga industri kreatif. Jadi, diharapkan kita semua dapat lebih berhati-hati dan amanah dalam bekerja," katanya.


Bagi kategori Pembangunan Kandungan Kreatif, aktiviti yang dibenarkan adalah seperti produksi animasi atau muzik, rakaman lagu di studio, pra dan pasca produksi dan penggambaran.


Bagi kategori acara langsung, semua jenis acara, pertunjukan atau persembahan langsung industri kreatif merangkumi muzik, lakonan, komedi, seni persembahan, budaya, warisan, multimedia dan siaran langsung di dewan, auditorium, premis seni, pusat konvensyen, stadium dan studio tanpa penonton.


-Berita Harian

bottom of page