top of page
  • newsatmy

FINAS tiada hasrat henti penggambaran

27 April 2021

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak berhasrat mengarahkan syarikat produksi yang masih berada di lokasi penggambaran menghentikan penggambaran, sebaliknya kawalan kendiri perlu diperhebatkan agar insiden pelakon mahupun kru dijangkiti pandemik COVID-19 tidak berulang.


Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, pihaknya mengambil pendekatan dengan melihat kepada dua aspek iaitu jangkitan virus boleh berlaku pada sesiapa, di mana sahaja dan bagaimana sesebuah produksi menanganinya jika ada dalam kalangan mereka disahkan positif COVID-19.


"Dalam situasi pandemik ini, kita kena akur virus ini masih wujud. Justeru, tidak perlu nak menuding jari kepada mana-mana pihak. Ada 200 syarikat produksi yang sedang berada di lokasi penggambaran, ketika ini. Takkanlah nak suruh mereka menghentikan penggambaran hanya kes terpencil ini.


"Setakat ini, kami berpuas hati dengan tindakan pantas dilakukan oleh produksi berkenaan apabila semua yang dijangkiti menjalani rawatan di pusat kuarantin dan berada di bawah pemantauan pihak bertanggungjawab," katanya kepada BH Online.


Terdahulu, tiga pelakon drama bersiri Kiblat Yang Hilang iaitu Sweet Qismina, Farisha Irwayu dan Laila Nasir disahkan positif COVID-19 selepas menjalani penggambaran drama di Hulu Langat, Selangor, awal bulan ini.


Kemudian, penggambaran filem Tariandi di Kuala Kangsar, Perak yang membabitkan Sweet turut menyaksikan seorang lagi pelakon, Akif Halqi dan empat kru positif COVID-19.


Kini, seramai 41 kru dan pelakon filem itu menjalani kuarantin di sebuah hotel di Ipoh. Sebelum itu, mereka ditempatkan di Pusat Kuarantin Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Ulu Kinta, Perak sejak Rabu lalu.


Tiga pelakon, Laila Nasir, Farisha Irwayu dan Sweet Qismina duduk serumah ketika menjalani penggambaran drama Kiblat Yang Hilang, sebelum dijangkiti COVID-19. - Foto IG Farisha Irwayu


Sehubungan itu, Ahmad Idham berkata, FINAS sekali lagi mengingatkan kepada syarikat produksi lebih bertanggungjawab dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya kerja penggambaran berjalan dengan lancar.


"Kita sudah melalui musim pandemik lebih setahun. FINAS sudah memperkenalkan pelbagai syarat dan peraturan bagi memastikan proses penggambaran berjalan lancar dan pada masa sama, keselamatan warga penggiat seni terjamin.


"Kepada pelakon, jangan sesekali abaikan ujian calitan kerana tugasan memerlukan anda untuk berada di banyak lokasi dan bertemu dengan ramai orang. Amalkan prinsip kita jaga kita.

"Walaupun ada antara SOP perlu dipatuhi membabitkan kos, namun tidak perlulah nak berkira demi kebaikan bersama. Apatah lagi, jika SOP itu terbukti berkesan dalam membendung wabak ini.


"Jika berlaku kejadian tidak diingini pasti akan menyusahkan banyak pihak kerana bukan sahaja penggambaran tergendala, malah lebih banyak kos terpaksa dikeluarkan penerbit," tegasnya.


-Astro Awani

bottom of page