top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

Firma Jerman Labur RM200 juta di Perak

19 Oktober-KUALA LUMPUR

Penapis mampan yang juga pemasar lilin, pelembut, minyak pelembut dan bahan pemplastik khusus terkemuka global yang berpangkalan di Jerman, H&R GmbH & Co KGaA, akan melabur RM200 juta bagi kemudahan pembuatan khusus di Lumut, Perak.

Perancangan pelaburan itu diumumkan semasa pertemuan antara H&R dan delegasi misi perdagangan dan pelaburan ke Jerman yang diketuai oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ia menjelaskan, pembinaan kemudahan itu dirancang bermula pada Mac 2022 diikuti dengan permulaan pengeluaran pada awal 2024.

"Projek ini dijangka dilaksanakan dalam tiga fasa, dengan kapasiti dirancang sebanyak 150,000 tan setahun," menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.


H&R GmbH & Co KGaA menambah, fasa satu dan fasa dua adalah bagi pengeluaran bahan pemplastik khusus, minyak putih dan emulsi lilin daripada sumber mineral, sintetik dan boleh baharu manakala fasa tiga akan menumpukan pengeluaran boleh baharu menerusi teknologi sintesis yang dirancang secara unik.


H&R menjelaskan, pihaknya akan menubuhkan entiti baharu, H&R Chempharm Asia Sdn Bhd, untuk memberi tumpuan kepada pengeluaran bahan pemplastik mesra alam untuk penggunaan dalam penghasilan tayar dan getah serta minyak putih perubatan dan teknikal untuk penggunaan bagi makanan, farmaseutikal, kosmetik dan polimer dengan pengenalan baharu produk berasaskan bio.


"Pelaburan ini dijangka dapat mewujudkan 70 pekerjaan baharu di Malaysia," menurutnya.

H&R menambah, selain H&R Chempharm Asia Sdn Bhd, ia mempunyai dua kemudahan sedia ada di Malaysia iaitu H&R Malaysia Sdn Bhd dan H&R Malaysia Wax Sdn Bhd masing-masing di Pelabuhan Klang dan Batu Caves, Selangor.

Kedua-dua kemudahan itu telah beroperasi sejak 1990, menghasilkan emulsi khusus lilin serta menjalankan aktiviti pemasaran dan pengedaran pelbagai lilin dan minyak khusus.

Mohamed Azmin berkata, pengumuman pelaburan H&R itu membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap persekitaran perniagaan Malaysia yang kekal kondusif.

Beliau berkata, syarikat itu telah menunjukkan matlamat yang jelas untuk mengurangkan kebergantungannya terhadap bahan mentah berasaskan fosil dan menjurus lebih kepada bahan mentah boleh baharu atau hibrid untuk penggunaan khusus dan produk yang lebih lestari dan akhirnya merealisasikan operasi neutral karbon pada 2035.

"Ini sejajar dengan komitmen Malaysia untuk memacu pembaharuan dalam mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih karbon menjelang 2050.

"Pelaburan strategik ini akan terus menyokong dan mendorong komitmen Malaysia terhadap nilai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di samping memajukan pertumbuhan hijau seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12)," katanya dalam kenyataan sama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman, berkata langkah H&R untuk terus meningkatkan usaha ke arah produk berasaskan bio di Malaysia adalah bukti bahawa ekosistem industri kimia negara adalah kukuh dan menjadi pemangkin penting bagi industri lain seperti automotif, makanan, alat perubatan dan farmaseutikal.

"MIDA, melalui Unit Pencepatan dan Penyelarasan Projek (PACU) kami akan bekerja sama dengan H&R untuk pemudahan menyeluruh dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek mereka di Malaysia," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Eksekutif H&R, Niels H Hansen, berkata hala tuju strategik dan visi Malaysia untuk ekonomi neutral karbon akan memperkukuh usaha syarikat ini untuk melabur lagi di dalam negara ini.

"Pelaburan kami di Lumut, Perak bertujuan untuk menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih mampan, dan menumpukan kepada pengurangan sumber berasaskan fosil," katanya.

Beliau berkata, Malaysia yang berada di tengah-tengah di Asia Tenggara, adalah hab pembuatan mampan dan kaya dengan sumber bahan mentah mineral dan boleh baharu, untuk memberi manfaat kepada komuniti ASEAN.

"Sebagai peneraju industri dalam pembuatan dan pemasaran produk khusus, kami berhasrat untuk membangunkan model perniagaan hibrid dalam projek kami di Lumut bagi mengubah pengeluaran produk berasaskan mineral kepada pengkhususan boleh baharu dengan bahan mentah dari tempatan untuk kepada pelanggan global kami," katanya.

H&R mempunyai lebih 100 tahun pengalaman mengoperasikan penapisan khusus di kilang pembuatan di seluruh dunia.

-BERNAMA

bottom of page