• newsatmy

Fizo Omar akhiri zaman duda, gadis Sarawak jadi pilihan

23 OKTOBER 2021

AKTOR kacak Fizo Omar difahamkan telah menamatkan zaman dudanya bersama seorang gadis Sarawak yang dikenali sebagai Fazeera Nazri Aziz.


Difahamkan juga, Fazeera yang menggunakan panggilan pendek Faz pernah bertugas sebagai seorang pramugari syarikat penerbangan antarabangsa sebelum ini.


Menerusi laman sosial Instagram, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 35, memuat naik foto memakai baju melayu putih bersama anaknya, Wan Maryam dengan kapsyen seolah-olah telah ‘keluar’ daripada gelaran duda.


“Ok abe Joe left group ‘recond’ dulu k. Pape roger k @sharnaazahmad @nazimothman @azleekhairiofficial,” tulis Fizo.


Menjengah ke ruangan komen, perkongsian foto tersebut dihujani dengan ucapan tahniah dan selamat pengantin baru untuk pasangan mempelai Fizo dan Fazeera.


Malah, ada yang memohon pengesahan siapakah wanita yang menjadi isteri bekas finalis Hero Remaja itu.


Di ruang komen juga, ada yang berkongsi maklumat dipercayai majlis pernikahan pasangan itu berlangsung di Janda Baik, Pahang.


Terbaharu, kepada Gempak, netizen berkongsi juga foto Fizo difahamkan yang pernah dirakamkan bersama Faz sebelum ini dengan kapsyen; "Ehem... ehem. Qlate (Kelantan) + Sarawakian"


Namun, sama seperti mulanya tersebar khabar angin bakal menamatkan zaman duda, Fizo tetap menyepi daripada berkongsi kenyataan kepada media.