top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Fokus di Parlimen: Ketepikan kepentingan diri, fikir nasib rakyat - Tunku Nashril

4 Julai 2021

KUALA LUMPUR: Keutamaan isu yang perlu dibawa pada persidangan parlimen menjelang hujung Julai ini adalah tidak lain tidak bukan mengenai nasib rakyat ketika berdepan wabak COVID-19.


Tidak kira sama ada ia diadakan secara hibrid mahupun bersemuka, Felo Penyelidik Policy Research Group, Tunku Nashril Tunku Abaidah menjelaskan, kebajikan rakyat perlu diutamakan kerana ia melibat soal hidup dan mati.


“Tolak ketepi kepentingan peribadi untuk masa ini. Fokus kepada isu menolong rakyat, memang betul kerajaan sudah pun umum Pelan Pemulihan Negara.


“Tetapi bagi saya itu bukan pelan, itu adalah langkah-langkah ataupun fasa, fasa-fasa yang mungkin kita hadapi untuk memerangi COVID-19 ini.


“Jadi dalam pelan ini, apakah strategi kerajaan? Kita nak tahu, kerana itu tidak jelas untuk pada masa ini. Jadi pihak kerajaan dan pembangkang perlu untuk membincang strategi ini.


“Malah, pihak kerajaan perlu berbesar hati terima pandangan daripada pihak pembangkang. Tiada masalah perkara ini sebenarnya cuma perlunya fokus kepada isu rakyat,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.


Bagaimanapun, Tunku Nashril berpendapat, walaupun sistem demokrasi membolehkan berlakunya usul undi tidak percaya sewaktu persidangan parlimen, tetapi, adalah lebih baik jika isu politik itu dihentikan seketika demi menjaga kebajikan rakyat.


“Undi tidak percaya ini sebenarnya satu perkara yang dibolehkan di dalam parlimen, dan itu adalah hak ahli-ahli parlimen untuk mengusulkan hak undi tidak percaya.


“Apabila kita cuba untuk menghalang usul undi tidak percaya, saya pun tidak faham mengapa. Cumanya dalam keadaan sekarang ini, iltizam politik itu perlu ada.


“Jadi saya rasa itu tiada masalah boleh diperbedatkan cumanya jangan terlalu berpolitik pada masa sekarang, tolonglah fikir nasib rakyat yang dilalui ketika ini,” ujar Tunku Nashril lagi.



--Awani

bottom of page