top of page
  • newsatmy

Foxconn muncul pemegang saham utama baharu DNeX

15 Jun 2021

KUALA LUMPUR - Anak syarikat Hon Hai Precision Industry Co Ltd, Foxconn Singapore Pte Ltd muncul sebagai pemegang saham utama Dagang NeXchange Bhd (DNeX) dengan 5.03 peratus kepentingan.


DNeX, merupakan syarikat teknologi yang beribu pejabat di Cyberjaya, menjelaskan ia telah menerima notis pemberitahuan rasmi daripada Foxconn pada 13 Jun, 2021, yang memaklumkan ia telah membeli 120 juta saham daripada pemegang saham sedia ada DNeX.


Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pihaknya sentiasa terbuka kepada sebarang kerjasama dengan rakan kongsi strategik dan pelabur yang memboleh memberikan nilai kepada syarikat.


“Kami menjangkakan perkembangan terkini ini boleh membawa potensi besar kepada DNeX dan kami yakin penyertaan Foxconn akan menawarkan peluang untuk memanfaatkan dan mencipta nilai di seluruh rantaian nilai sektor teknologi tinggi dan selainnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.


Beliau berkata, bidang berpotensi untuk kerjasama antara DNeX dan Foxconn adalah semikonduktor dan produk hiliran, kenderaan elektrik serta perniagaan berkaitan dengan rantaian nilai kenderaan elektrik.


Dalam melangkah maju, DNeX menumpukan usaha mengembangkan perniagaan dan mentransformasikan syarikat kepada peserta teknologi yang mampu bersaing dalam pasaran global, katanya.


DNeX bersama-sama dengan Pusat Dana Pelaburan Ekuiti Pembuatan Terkini Litar Bersepadu dan Peralatan Canggih Beijing (Perkongsian Terhad), sedang dalam proses memuktamadkan pembelian ke atas SilTerra Malaysia Sdn Bhd, yang membuat wafer semikonduktor yang dibekalkan kepada syarikat ‘fabless’ dan pembuat peranti bersepadu multinasional.


Syarikat ‘fabless’ merupakan syarikat yang mereka bentuk dan menjual mikrocip dan perkakasan namun tidak menghasilkan wafer silikon atau cip yang digunakan dalam produknya, sebaliknya, melaksanakan penyumberan luar kepada pengeluar khusus.


Syed Zainal Abidin berkata, unjuran bagi sektor semikonduktor kekal kukuh dengan peningkatan permintaan berterusan sehingga 2024, yang boleh membawa kepada pendapatan positif bagi SilTerra and DNeX.


“Ini menjadikan pembelian ke atas SilTerra adalah sesuai pada masanya dan strategik untuk DNeX. Kami yakin perniagaan kami dalam pasaran semikonduktor akan berkembang pada kadar kukuh,” katanya. - Bernama


bottom of page