• newsatmy

Friends: The Reunion dedah rahsia besar antara Ross dan Rachel

Updated: Jun 7

7 Jun 2021

PEMINAT-PEMINAT siri sitkom popular antarabangsa, Friends pasti terkejut dengan pendedahan rahsia terbaharu dalam rancangan yang disiarkan ke udara selama 10 tahun itu.


Selepas 17 tahun berakhir, rahsia besar didedahkan pada Khamis lalu dalam perjumpaan khas oleh para pelakon utama Friends yang disiarkan di HBO Max.


Rahsia berkenaan ialah percintaan antara watak Ross Geller dan Rachel Green yang sering kali 'pasang-surut' bukan saja di dalam televisyen!


Pelakon David Schwimmer dan Jennifer Aniston untuk pertama kalinya mendedahkan bahawa mereka saling suka antara satu sama lain ketika tahun-tahun awal siri itu.


Walaupun demikian, kedua mereka hanya melakukan adegan romantik bercium di layar pada tahun 1995.


"Saya hanya ingat menyatakan sekali kepada David bahawa sangat sedih jika kali pertama dia dan saya bercium di kaca televisyen. Kali pertama kami bercium ialah di kedai kopi itu," kata Aniston dalam temu bual Friends: The Reunion yang dikendalikan oleh pengacara James Cordon itu.


"Kami hanya menyalurkan semua rasa suka dan sayang kami kepada Ross dan Rachel," tambahnya.


Adegan romantik di kedai kopi Central Perk dalam episod musim 2 bertajuk The One Where Ross Finds Out secara meluas dianggap sebagai salah satu babak ikonik dalam siri televisyen berkenaan.


Schwimmer dan Aniston menyatakan perasaan suka sama suka itu hanya berlangsung selama dua tahun pertama siri Friends, tetapi mereka tidak pernah bercinta di luar set pengambaran kerana masing-masing terikat dalam hubungan bersama orang lain.


"Kami berdua saling suka sama suka, tetapi ia umpama dua kapal berlalu antara satu sama lain kerana kami selalu berada dalam hubungan lain. Jadi kami tidak pernah melampaui batas, kami menghormatinya," kata Schwimmer.


Friends: The Reunion muncul 17 tahun selepas siri Friends yang disiarkan selama 10 tahun berakhir.


Siri itu memaparkan sekumpulan anak muda berusia 20-an yang tinggal di kotaraya New York mengharungi pelbagai cabaran dalam perhubungan kawan, keluarga dan kerjaya.


Jadi kepada peminat Friends jangan lupa saksikan Friends: The Reunion di HBO Max dan Astro Go!


-Astro Awani