top of page
  • cik skod

Genggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada usia 80 tahun

Faktor usia bukan penghalang untuk menamatkan pengajian di peringkat tertinggi sehingga berjaya menggenggam segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada usia 80 tahun.


Yeop Ali Mohd Dobi yang memulakan pengajian di peringkat PhD sejak 10 tahun lalu pada usia 70 tahun, terus komited untuk menjayakan walaupun berdepan pelbagai cabaran.


Hasrat bekas Pengurus Besar sebuah bank tempatan ini untuk melanjutkan pengajian PhD bagi memastikan masanya sentiasa terisi ketika usia emasnya, untuk mempelajari perkara baharu.

"Ketika tempoh persaraan saya 15 tahun lalu, saya pernah diserang strok ringan (mild stroke) dan pada ketika itu saya nekad untuk melakukan sesuatu bagi untuk mengisi hari-hari persaraan saya.


"Selepas pulih, saya terus lanjut pengajian PhD pada usia 70 tahun dan pada usia 80 tahun saya berjaya menamatkannya," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.


Dalam majlis Konvokesyen Asia E University (AeU) di ibu negara pada Sabtu, kajian Yeop Ali berkaitan perniagaan Pos Malaysia Bhd dan perkhidmatan pelanggan penghantaran Pos Laju turut dinobatkan sebagai Kajian Terbaik 2022


Menceritakan pengalaman 10 tahun yang begitu bermakna bagi menamatkan pengajian PhD ini, Yeop Ali sentiasa menghabiskan masanya di perpustakaan dan berdiskusi bersama rakan serta penyelia pengajian.


"Saya seorang old-fashioned, saya jarang gunakan internet untuk cari maklumat, banyak informasi yang saya dapat dari perpustakaan, di situ saya banyak meluangkan masa.

"Pada permulaan pengajian, seramai 200 rakan berjuang untuk tamatkan PhD, namun hanya 10 sahaja yang tamat, ada rakan-rakan seusia saya tidak sempat tamatkan kerana uzur dan ada yang meninggal dunia," katanya.


Minatnya terhadap ilmu dan pengajian akademik sejak muda lagi apabila turut memegang dua Ijazah Sarjana iaitu Sarjana Sains dan Perniagaan dan Sarjana Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan dari University of Strathclyde, United Kingdom


Mengenang kembali keputusannya di peringkat sekolah tidaklah membanggakan, namun ketika sudah bekerja, beliau akui hanya pendidikan mampu untuk mengembangkan kerjaya.

"Ketika di bangku sekolah di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAS) Alor Setar, saya hanya dapat Gred ketiga sahaja, kemudian saya bekerja.


"Hasil pendapatan itu saya simpan dan gunakan untuk sambung pengajian di United Kingdom tanpa sebarang tajaan dan saraan daripada keluarga," jelasnya.


Jelas beliau, sebilangan besar pendapatannya ketika bekerja banyak digunakan untuk menimba ilmu dan melakukan kajian akademik.


Anak sulung kepada tujuh adik beradik yang berasal dari Pengkalan Pegoh, Ipoh ini akui, usaha untuk tamatkan pengajian tidak akan terhasil tanpa sokongan daripada keluarga.



Ketika ini, beliau giat menjadi panel forum serta seminar bagi memberi inspirasi kepada golongan muda yang masih punyai keupayaan untuk melanjutkan pengajian di pderingkat tertinggi.


Yeop Ali juga kini aktif menjadi penyelidik akademik bersama penyelia pengajiannya Prof Oo Yu Hock dan berharap jika diberikan peluang untuk menjadi tenaga pengajar di mana-mana institusi pengajian tinggi.

bottom of page