top of page
  • admin

Gerakan Hartal Doktor Kontrak tidak yakin janji dibuat Perdana Menteri

6 April

Gerakan Hartal Doktor Kontrak tidak yakin janji dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) akan menyerap 12,800 doktor kontrak ke jawatan tetap.


Jurucakap gerakan itu berkata janji untuk menyerap doktor kontrak yang tamat latihan kli­nikal (housemanship) ke ja­watan tetap secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun masih belum memadai dalam menjamin nasib doktor kontrak di negara ini.


Ini ke­rana, katanya jumlah yang disasarkan kerajaan itu hanya satu angka yang kecil, berbanding bilangan doktor kontrak dalam tempoh tiga tahun lagi.


Justeru, katanya, doktor kontrak akan tetap tidak rasa selamat dan berkemungkinan meninggalkan sistem perkhidmatan awam.


“Langkah itu positif, tetapi mungkin tidak memadai sebab yang diserap dalam 12,000 doktor kontrak, tetapi ketika ini ada kira-kira 20,000 doktor kontrak.


“Selepas itu doktor kontrak baharu yang masuk setiap tahun dalam 5,000 orang dan apabila lagi tiga tahun jumlah kese­luruhan itu akan jadi 30,000 lebih doktor kontrak.


“Jadi, dalam 30 peratus sahaja (daripada keseluruhan doktor kontrak pada 2025) yang dapat serap, yang lain akan rasa tidak selamat jadi ramai-ramai mungkin akan tinggalkan servis,” katanya menurut laporan Utusan.


Jurucakap gerakan itu juga berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan ramai doktor yang lain akan berterusan meninggalkan perkhidmatan kesihatan awam sekiranya kerajaan terus kekal dengan kaedah itu.


Katanya, ini kerana doktor kontrak yang lain tidak akan merasa selamat dan terjamin dalam sistem kesihatan ini.


“Sekarang pun ramai sudah tinggalkan servis sebab rasa tidak selamat, jadi jika kaedah begini, ramai mungkin akan berterusan ikut,” ujarnya.


Selasa lalu, Anwar berkata isu penyerapan doktor lantikan kontrak ke jawatan tetap dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.


Katanya penyerapan itu perlu dibuat secara berperingkat selepas mempertimbangkan implikasi kewangan perlu ditanggung kerajaan, jika ia diselesaikan secara sekali gus.

bottom of page