• Arissa Azman

Gerakan Persoal Ke Mana Perginya Baki Peruntukan Kerajaan Pulau Pinang Untuk Rakyat

10 Julai 2021

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mempersoalkan peruntukan berumlah RM1.04 juta oleh Ketua Menteri Pulau Pinang yang tidak digunakan sepenuhnya bagi membantu rakyat di seluruh negeri ini.


Timbalan Presiden Gerakan merangkap Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang mengumumkan peruntukan RM1.04 juta kepada 40 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), iaitu masing-masing seharusnya mendapat RM26,000.

“Tetapi mengikut kenyataan beberapa orang ADUN kepada pihak media, mereka hanya mendapat RM20,000.


“Maka, ke mana perginya RM6,000 yang baki itu? Ke mana perginya baki yang berjumlah RM24,000 yang harus diagihkan kepada rakyat Pulau Pinang di 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)? ” katanya.


Beliau mendakwa, pengumuman peruntukan itu dibuat setelah kempen kibar bendera putih bermula dan juga apabila rakyat Pulau Pinang memasang bendera putih di depan rumah mereka.


Menurutnya, ini mencerminkan rakyat negeri Pulau Pinang telah lama menunggu bantuan daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Pulau Pinang yang diketuai DAP.


Jelasnya, ia juga membuktikan kerajaan negeri Pulau Pinang gagal menghulurkan bantuan kepada rakyat Pulau Pinang dan menjaga kebajikan warga negerinya.


Beliau berkata, sebenarnya peruntukan RM20,000 yang diberi tidak cukup untuk menampung keperluan rakyat di sesebuah kawasan DUN.


” Sebagai contoh, DUN Padang Kota, kawasan bagi Ketua Menteri Pulau Pinang yang mempunyai 14,476 orang pengundi.


” Sekiranya RM20,000 itu diagihkan kepada setiap pengundi di Padang Kota, masing-masing hanya menerima RM1.40 di mana pengiraan ini tidak termasuk penduduk di kawasan DUN itu yang bukan pengundi,” katanya.


Menurut beliau, sekiranya bantuan berbentuk barangan yang diberi bernilai RM50, dengan peruntukan berjumlah RM20,000 kepada setiap kawasan DUN, hanya 400 orang penduduk di setiap kawasan akan menerima manfaat tersebut.


“Maka, jumlah peruntukan itu masih tidak cukup untuk membantu semua rakyat Pulau Pinang yang memerlukan bantuan.


“Kami juga menerima aduan daripada penduduk di beberapa kawasan bahawa mereka tidak menerima sebarang bantuan daripada negeri Pulau Pinang,” katanya.


Di samping itu, Gerakan menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang diketuai DAP supaya mengikut jejak langkah kerajaan negeri Sembilan dan Johor untuk mengecualikan bayaran sewa premis dan kediaman PPR untuk meringankan Bevan rakyat yang kehidupan mereka terkesan akibat penularan Covid-19.


“Mengikut laporan berita, kerajaan negeri Pulau Pinang hanya memberi pengecualian bayaran sewa itu pada tahun lepas dan tidak dilanjutkan atau dilaksanakan semula pada tahun ini sungguh pun perintah kawalan pergerakan masih dikenakan.


“Sebaliknya, kerajaan negeri Pulau Pinang pula meminta rakyat Pulau Pinang mesti membayar cukai pintu sebelum 31 Ogos ini.


Sehubungan itu, Gerakan menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai DAP supaya menjalankan tugas mereka sebagai kerajaan negeri dengan baik dan bertanggungjawab, jangan sesekali menuding jari kepada orang lain.


” Sekiranya kerajaan negeri lain boleh mengambil inisiatif memberi bantuan untuk menjaga kebajikan dan kepentingan rakyatnya, mengapakah kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai DAP tidak dapat berbuat sedemikian?,” katanya.




--PN Online