• newsatmy

Gol Aguero, Torres bawa City hampiri kejuaraan

2 May 2021

CRYSTAL PALACE 0 MANCHESTER CITY 2


Manchester City berkemungkinan dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris penghujung minggu ini selepas jaringan daripada Sergio Aguero dan Ferran Torres memastikan kemenangan 2-0 mereka ke atas Crystal Palace malam tadi.


Aguero, yang merupakan pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman City, akan meninggalkan Stadium Etihad apabila kontraknya tamat bulan depan selepas kempennya kali ini terganggu oleh masalah kecergasan.


Tetapi penyerang Argentina itu menemui kembali sentuhan magisnya ketika menghasilkan gol pembukaan gemilang pada minit ke-57, yang turut merupakan jaringan keduanya sepanjang musim ini.


Hanya dibezakan 83 saat sebelum Torres pula mempamerkan penyudah tenang bagi mengesahkan gol kedua pasukannya dan City akan dinobatkan juara liga buat kali ketiga sepanjang empat tahun ini seandainya Liverpool menewaskan Manchester United di Old Trafford malam esok.


Pertahanan sayap Palace, Tyrick Mitchell, melakukan hadangan penting ketika Torres melepaskan sepakan voli daripada hantaran lintang Benjamin Mendy pada minit kesembilan.


Raheem Sterling kemudian meluru ke arah kawasan Palace susulan lorongan jauh Aymeric Laporte tetapi Mitchell sekali lagi menyelamatkan situasi getir itu.


Christian Benteke mempunyai peluang terhidang sebelum setengah jam permainan, malangnya penyerang Belgium itu melepaskan rembatan yang terlalu hampir dengan penjaga gol City, Ederson.


Dengan beberapa perancang utama mereka direhatkan di bangku pemain simpanan, City bergelut untuk bergerak secara lancar. Gabriel Jesus dapat melepaskan voli susulan hantaran lintang Fernandinho pada minit ke-36 tetapi dia terlebih dahulu dikesan berada di kedudukan ofsaid.


Dengan percubaan bertali arus yang dihasilkan gagal, Aguero memilih untuk melakukan sesuatu yang lebih mudah dengan mengawal hantaran lintang Mendy sebelum melepaskan separa voli yang melewati kawalan penjaga gol, Vicente Guaita.


Gerakan empat penyerang City semakin menjadi-jadi selepas itu dan Aguero turut terlibat merencanakan serangan mengerikan berkenaan sebelum Torres menemui penjuru kiri bawah gawang lawan bagi memastikan kemenangan berkenaan.


-Astro Awani