• Arissa Azman

Golongan terkesan COVID-19 digalakkan mohon bantuan JKM secara online

9 September 2021

SEPANG: Golongan terkesan pandemik COVID-19 yang ingin memohon bantuan disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digalakkan melakukannya secara dalam talian tanpa perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata permohonan dalam talian telah diperkenalkan sejak Mac tahun lepas menerusi Sistem Pengurusan Bantuan JKM di laman sesawang http://ebantuanjkm.jkm.gov.my. “Kaedah ini membolehkan permohonan bantuan dibuat walaupun PKMD ditutup bagi kawasan zon merah, kawasan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan dan Bakul Prihatin Negara di sini hari ini.

Rina berkata pihak JKM akan menjalankan siasatan permohonan bantuan berdasarkan permohonan yang diterima bagi memastikan penerima adalah daripada golongan yang benar-benar memerlukan.


“Proses siasatan dijalankan secara temu bual melalui panggilan telefon. Siasatan bersemuka dilaksanakan ikut kesesuaian dan bergantung kepada arahan MKN (Majlis Keselamatan Negara) dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata penerima bantuan bulanan JKM yang telah diluluskan sebelum ini tidak perlu memperbaharui permohonan atau melalui proses siasatan. “Pegawai kes akan menggunakan borang kaji semula kelulusan terdahulu bagi melanjutkan bantuan. Penamatan kes hanya dilakukan sekiranya terdapat maklumat yang sahih seperti meninggal dunia, kes berpindah keluar daerah dan perubahan yang tidak lagi menepati syarat kelayakan menerima bantuan JKM,” katanya.

Menurut Rina, hingga Julai lepas sebanyak RM1.5 bilion telah disalurkan kepada 512,643 penerima bantuan yang layak di bawah 11 jenis skim bantuan JKM antaranya golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik terlantar dan pekerja OKU.

Sabah mencatatkan jumlah penerima tertinggi iaitu 63,641 penerima diikuti Johor (52,567), Sarawak (50,883), Kelantan (46,752) dan Selangor (44,764), katanya.