• Arissa Azman

GPS kekal sokong Kerajaan PN dan pentadbiran Muhyiddin - Abang Johari

11 Julai 2021

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal dengan pendirian menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Perkara itu diumumkan Pengerusinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Sabtu.


Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata, ini bukan masa untuk berpolitik sebaliknya menumpukan usaha menangani krisis pandemik COVID-19.



"Pendirian kami (GPS) ialah menyokong Kerajaan PN dan Perdana Menteri (Muhyiddin).


"Kedua, ini masa untuk kita membangunkan negara dan bukan masa untuk berpolitik. Semua ahli parlimen perlu bersatu untuk memacu negara keluar dari krisis ini (COVID-19)," katanya.


Sementara itu, Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya akur dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti itu.


Tegasnya, sokongan kepada Perdana Menteri itu sangat jelas untuk mengukuhkan kestabilan negara dalam menangani pandemik COVID-19 termasuk memastikan kebajikan rakyat secara keseluruhan diutamakan khasnya dalam program vaksinasi.


"Kita akur kepada apa yang diputuskan oleh kepimpinan parti kita, apa yang diputuskan oleh Ketua Menteri dan kita pastikan yang lebih penting sekarang ini ialah politik negara berada dalam keadaan stabil.


"Jika politik tidak stabil bagaimana kita nak selesaikan masalah yang dihadapi oleh negara seperti pandemik COVID-19 dan ekonomi," katanya.




--Awani