• newsatmy

GRS tekankan hala tuju strategik pelaksanaan Sabah Maju Jaya

22 Mac 2021

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menekankan hala tuju strategik dalam pelaksanaan Sabah Maju Jaya di negeri ini.


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelan Sabah Maju Jaya akan memberi fokus kepada tiga teras utama yang bergerak seiring dengan kerangka agenda pembangunan nasional di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.


Jelasnya tiga teras utama yang dimaksudkan adalah Sektor Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.


"Sungguh pun dokumen Hala Tuju SMJ hanya akan dilancarkan secara rasmi pada 29 Mac ini disebabkan pandemik COVID-19, namun pelaksanaannya telah bermula sejak awal tahun.


"Insya-Allah, esok, YAB Tan Sri (Muhyiddin Yassin) sendiri akan melancarkan dan menyaksikan majlis menandatangani MoU (memorandum persefahaman) untuk tiga Inisiatif Berimpak Tinggi di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang melibatkan kemasukan pelaburan asing dan domestik.


"Kita akan bekerja sehabis baik untuk memastikan bukan sahaja negeri Sabah maju, tetapi rakyatnya juga berkemajuan," katanya.


Hajiji berkata demikian dalam ucapannya bersempena majlis pertemuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin bersama pemimpin GRS di Magellan Sutera Harbour, malam tadi.


Sementara itu, ketika menyentuh kemuafakatan GRS di negeri ini, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah berkata, adalah penting dalam memastikan kestabilan politik di antara parti komponen dalam memperjuangkan nasib rakyat.


"Permuafakatan GRS bukan sekadar penting untuk kita di Sabah.


"Permuafakatan ini amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia.


"Kita akan dihormati sekiranya kita kuat dan bersatu membawa suara dan perjuangan negeri dan rakyat. Ikhtiar kita akan lebih berkesan apabila kita menjadi sebahagian daripada tunjang kekuatan Kerajaan Persekutuan," jelasnya.


Katanya lagi, sikap komited Perdana Menteri terhadap Sabah memberikan keyakinan mustahak kepada rakyat negeri ini dalam membangunkan ekonomi yang terjejas akibat kesan pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - AA