top of page
  • Farah

Guru dipaksa hadiri taklimat PRU,keutamaan guru mengajar di sekolah


PUTRAJAYA: 15 Sept- Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menegaskan keutamaan guru adalah bertugas di sekolah masing-masing.


Ujarnya, kementerian akan menyemak mengenai rungutan ibu bapa dan guru berhubung guru yang dipaksa menghadiri taklimat penugasan pilihan raya umum (PRU) pada sesi pembelajaran.


"Keutamaan guru adalah bertugas di sekolah. Saya rasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) faham itu," katanya menerusi sesi sidang akhbar sempena pelancaran program pengukuhan sukan sepak takraw di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1), di sini pada Khamis.


Sebelum itu, keluhan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Jalan Reko, Muhamad Nasron Muhamad Nasir menegaskan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak sepatutnya ‘memaksa’ guru menghadiri taklimat petugas pilihan raya umum (PRU) ketika waktu persekolahan,


“Saya sudah menyatakan perkara ini secara tak rasmi kepada pegawai PPD Hulu Langat dan meminta beliau sampaikan kepada SPR untuk memilih masa yang sesuai dan tidak mengganggu takwim persekolahan.


“Kita tahu guru pun berkejar mahu habiskan silibus mata pelajaran masing-masing. Pegawai PPD kata akan cuba ganti balik waktu pembelajaran yang sudah terbuang, tapi kaedah macam mana tu saya tak pasti,” katanya.


Nasron sebelum ini memuat naik tangkap layar mesej komunikasinya dengan pegawai PPD, yang antara lain memberi teguran kepada SPR berhubung taklimat pada waktu persekolahan, di laman Facebook miliknya.


Rata-rata komen daripada warganet menyokong tindakan Nasron dan berpandangan agar pelajar sekolah tidak seharusnya menjadi mangsa keadaan.

Commentaires


bottom of page