• newsatmy

Guru ditemui meninggal dunia dalam kereta

15 April 2021

SABAK BERNAM - Seorang guru meninggal dunia di dalam sebuah kereta yang di parkir di hadapan rumah di Kuarters Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap di sini, petang Rabu.


Kejadian jam 4.30 pagi itu disedari isteri mangsa yang baharu pulang ke rumah selepas mendapati mangsa berusia 56 tahun itu berada di tempat duduk bahagian pemandu kereta jenis Naza Citra dan tidak sedarkan diri.


Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, isteri mangsa kemudian memberitahu rakan-rakan sekerjanya tentang kejadian berkenaan.


"Pasukan kesihatan dari Klinik Bagan Terap kemudian membuat pemeriksaan dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.


Agus Salim berkata, pihak polis dimaklumkan mengenai kematian guru itu selepas dihubungi seorang pembantu perubatan pada jam 5.30 petang Rabu.


"Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati tiada sebarang kesan luka atau cedera.


"Isteri memaklumkan, mangsa yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar mengidap penyakit tekanan darah tinggi dan mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Besar secara berkala," ujarnya.


Beliau memberitahu, mayat mangsa telah dibawa ke hospital dan akan dibedah siasat sebaik keputusan ujian Covid-19 diperoleh.


"Punca sebenar kejadian dan siasatan masih diteruskan," jelasnya.


-Berita Harian