top of page
  • newsatmy

Hak Kebebasan Bersuara Gen-Z


Masih hangat diperkatakan tentang isu Iswardy Morni, di mana beliau memuat naik satu video di laman youtube rasminya yang berbaur hasutan dan menghina Yang Di-Pertuan Agong yang tular baru-baru ini.


Kebebasan bersuara ialah hak mutlak setiap insan. Hak kebebasan bersuara diiktiraf sebagai hak asasi manusia dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan diiktiraf dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-hak Sivil dan Politik (ICCPR).


Ciri-ciri penduduk Malaysia yang pelbagai kaum menyebabkan sukarnya kebebasan bersuara diamalkan kerana ada kecenderungan berlaku perselisihan antara etnik sekiranya hak tersebut disalahgunakan dengan mengugut atau menghina satu sama lain secara terbuka.


Kalau dibiarkan isu-isu agama, hak istimewa orang Melayu, institusi diraja dan sebagainya dibicarakan dalam perhimpunan ramai secara terbuka seperti dalam kempen pilihan raya, maka hak ini mungkin akan mengancam keselamatan negara.


Kalau tengok media sosial dalam bahasa bukan Melayu dalam bahasa mereka, lagi teruk. Bukan main lagi mereka mencerca dan mengutuk. Kenapa terus dibiarkan?


Jika ada yang ditangkap dan didakwa nanti, maka bertempeklah pejuang-pejuang hak asasi manusia mahukan mereka dibebaskan tanpa syarat. Apakah budaya seperti ini patut dibiarkan?


Kita tidak nafikan raja-raja perlu ditegur kerana mereka juga adalah manusia biasa, ada nafsu seperti manusia yang lain. Kadangkala, mereka juga terlanjur akhlaknya, turut merebut kekayaan dan sebagainya, tetapi teguran biarlah beradab.


Kita tidak menafikan hak kebebasan bersuara seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, namun semua ada hadnya.


Dalam hal ini, kebebasan bersuara perlu dikawal bagi mengelak masalah lebih teruk sehingga boleh merosakkan kestabilan negara dan menjurus kepada masalah perselisihan antara kaum.


Jadi, perlu ada kawalan pada pihak kerajaan dalam mengehadkan kebebasan bersuara demi kepentingan umum supaya tidak disalahgunakan.


Semenjak kebelakangan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bersama DYMM-DYMM Raja-Raja Melayu yang lain, sering dihentam, dihina, disoal, dan dipertikaikan.


Tomahan dan fitnah disebar luas mengenai pendirian, kelakuan, dan perbelanjaan Tuanku-Tuanku yang bertujuan untuk menjejaskan maruah dan merendahkan martabat Raja-Raja Melayu.


Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan yang meletakkan raja sebagai kuasa tertinggi, penghinaan kepada institusi raja hendaklah dilihat sebagai satu kesalahan besar dan tidak boleh dipandang remeh.


Setiap perkataan yang dikeluarkan melambangkan kematangan seseorang berfikir. Hendak ditarik semula kebebasan bersuara, ianya seolah-olah menafikan hak asasi manusia, yang sememangnya mempunyai fitrah untuk menyuarakan pandangan.


Tetapi jika menyalah gunakan hak yang telah diberi, sehingga menjejaskan kedaulatan dan keamanan negara, maka apa sebenarnya yang rakyat mahu?


Setiap warganegara mempunyai hak untuk bersuara. Namun apakah ‘isi’ yang dikeluarkan melalui ‘suara-suara’ itu harus dititikberatkan, kerana ianya akan memberi implikasi kepada masa hadapan. Berfikir sebelum ‘bersuara’.


Jadi, sebagai seorang Generasi Y, mereka haruslah memberikan contoh yang baik kepada Generasi Z. Hal ini demikian kerana, merekalah yang akan mentadbir negara suatu hari nanti.

bottom of page