top of page
  • newsatmy

Hakisan pantai semakin meruncing di Kemaman

5 April 2021

KEMAMAN: Jika sebelum ini Pantai Kuala Kerteh di Kemaman antara lokasi tumpuan dan pilihan orang ramai untuk berkelah dan melakukan aktiviti bersama keluarga.


Namun hakisan yang melanda kawasan itu menjejaskan orang ramai untuk menghampiri kawasan berkenaan.


Hasil tinjauan di kawasan itu mendapati, hakisan menjadi teruk berikutan perubahan monsun yang berlaku pada bulan Mac lalu sehingga menyebabkan banyak pokok rhu tumbang.


Keadaan tersebut sedikit sebanyak telah mencacatkan pemandangan dan mengundang bahaya kepada pengunjung berikutan ada pokok besar yang menunggu masa sahaja untuk rebah ke bumi.


Beberapa pengunjung yang ditemui meluahkan rasa bimbang jika tiada tindakan segera dilakukan dikhuatiri keadaan akan bertambah teruk.


Selain itu mereka bimbang berlaku insiden yang tidak diingini seperti ditimpa oleh pokok besar yang berada berhampiran kawasan berkenaan.


“Saya sebagai penduduk Kerteh rasa terkilan jika tiada tindakan diambil. Saya menggesa pihak berkenaan untuk mengambil tindakan segara agar kejadian hakisan ini tidak semakin teruk,” kata seorang pengunjung, Azman Manan.


Keadaan hakisan tersebut bukan sahaja membimbangkan pengunjung malahan peniaga makanan di medan selera berdekatan turut berasa bimbang.


Warung mereka hanya terletak kira-kira 50 meter daripada kawasan hakisan dan sekiranya tidak dibendung dikhuatiri akan turut menjejaskan warung milik peniaga.


Justeru mereka berharap agar tindakan segera dapat diambil agar kawasan yang sering menjadi tumpuan orang ramai akan menjadi suram satu hari nanti dan musnah akibat daripada keadaan hakisan yang teruk.


- Astro Awani


bottom of page