Hamilton boleh lupakan gelaran juara F1
27 Oktober-LONDON
Lewis Hamilton tidak lagi memikirkan tentang gelaran Formula Satu (F1) dunia selepas tewas kepada seteru utama, Max Verstappen pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat kelmarin.
Kemenangan itu, membolehkan Verstappen mendahului carta dengan kelebihan 12 mata, sekali gus berpeluang cerah meraih gelaran dunia ketika saingan berbaki lima pusingan.
Hamilton yang mendahului perlumbaan kelmarin gagal menghalang pemandu Red Bull selepas ketinggalan 1.333 saat.
Dia menjangkakan bakal berdepan kesukaran untuk mengejar Verstappen.
“Saya tidak fikir (kejuaraan dunia) waktu ini dan hanya perlu gembira dengan tugas yang dilakukan. Saya akui kami tidak cukup pantas untuk menang.
“Apa pun saya perlu lihat ke depan dan kekal tenang. Harus ambil satu perlumbaan pada satu masa.
“Terdapat dua litar yang mungkin memberi kelebihan kepada Red Bull, jadi kami perlu minimumkan kekuatan mereka dan tmelakukan yang terbaik dalam baki saingan,” katanya.
Pemandu Mercedes itu mengakui, Red Bull mempunyai kelebihan beraksi dalam litar yang panas, sekali gus mampu memecut lebih laju.
Perlumbaan akan diteruskan di Mexico (8 November), Brazil (15 November), Qatar (21 November), Arab Saudi (6 Disember) dan Abu Dhabi pada 12 Disember. – AGENSI
Comments