top of page
  • zaman

Hamzah puji Maritim selamatkan lima pemancing terkandas, harungi detik cemas


KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Sekumpulan lima pemancing yang terkandas di Pulau Batu Berantai, Kuala Selangor berjaya diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kelmarin, mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.


Hamzah berkata keputusan pantas untuk mengaktifkan operasi menyelamat adalah satu tindakan yang terpuji dan ianya juga membuktikan kepakaran serta dedikasi tinggi anggota Maritim untuk berkhidmat walaupun terpaksa mengharungi detik cemas yang boleh membahayakan nyawa sendiri.

“Bangga dengan kecekapan serta keberanian ditunjukkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia atas kejayaan menyelamatkan nyawa 5 orang pemancing yang terperangkap di tengah-tengah lautan yang bergelora.

“Terima kasih dan setinggi penghargaan saya ucapkan kepada anggota yang terlibat iaitu, Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol bin Saidi sebagai Komander Pesawat bersama pembantu juruterbang, Leftenan komander (M) Azizi bin Zalkepeli dan tiga lagi kru Pesawat AW139,” katanya.


Terdahulu, lima pemancing tempatan menempuh detik getir apabila terkandas di Pulau Batu Berantai akibat cuaca buruk kira-kira 1.4 batu nautika di barat laut Pantai Remis, Jeram, di Kuala Selangor

.

Mereka ialah Mohd. Yazid Basir, 37; Zamri Romli, 39; Mohd. Razwan Hussin, 48; Hamidi Rohani, 70, dan Tohid Sangon , 65, yang masing-masing berasal dari Tanjong Karang dan Jeram itu berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pukul 10.20 pagi, pada Khamis.


Tiga daripada mangsa itu terkandas di pulau berkenaan selama 15 jam manakala dua lagi hampir tiga jam.


Mohd. Razwan berkata, dia bersama dua mangsa lain dihantar sebuah bot ke Pulau Batu Berantai pukul 7.20 petang semalam dan sepatutnya pulang pagi Khamis, bagaimanapun bersyukur apabila melihat pesawat helikopter Maritim Malaysia berlegar di kawasan perairan tersebut.

“Namun, kira-kira 8.30 pagi tadi, bot itu tiba dengan menurunkan dua lagi pemancing kerana mempunyai urusan lain di Pulau Angsa. Bot itu bagaimanapun tidak muncul dan dipercayai terkandas akibat cuaca buruk

“Kami kemudian segera melambai tangan meminta pertolongan kerana bimbang keadaan menjadi lebih serius. Selain telefon bimbit, peralatan seperti jaket keselamatan dan alat memancing sudah dihanyutkan ombak sekali gus menyebabkan kami gagal menghubungi sesiapa,” katanya dalam satu kenyataan.


Dalam pada itu, Ketua Stesen Stesen Udara Maritim Subang (SUMS), Kepten Maritim Syed Islam Shahajam berkata, ketika kejadian pesawat AW139 dinaiki dua juruterbang dan tiga kru termasuk perenang penyelamat sedang menjalankan rutin latihan penerbangan.

“Keadaan laut ketika itu bergelora dan merisikokan nyawa pemancing sekiranya mereka hanyut kerana tidak memakai jaket keselamatan.

“Semua mangsa diselamatkan apabila perenang penyelamat berjaya membawa mereka naik ke dalam pesawat dengan menggunakan teknik ‘winching’,” jelasnya.


Jelas beliau, lima pemancing itu kemudian diterbangkan ke SUMS dan diberikan rawatan awal oleh lima ambulans dari Hospital Sungai Buloh, Shah Alam dan Tunku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) selepas didapati dalam keadaan lemah dan trauma.

“Lima lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

bottom of page