top of page
  • Writer's pictureNihaba

Hannah Yeoh cetek pemikiran, Rina Harun hanya promosi program kementerian


KUALA LUMPUR, 14 Sept – Gesaan pemimpin DAP, Hannah Yeoh supaya Datuk Seri Rina Mohd Harun meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah tidak wajar.


Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata Rina hanya mempromosikan program kementeriannya di dalam sebuah video.

“Seorang manusia yang jelas akal fikirannya dapat menginterpretasikan video tersebut adalah bertujuan mempromosikan program dan bukan memperlekehkan wanita seperti yang dicanang Hannah Yeoh yang cetek pemikiran.

“KPWKM di bawah kepimpinan Datuk Seri Rina Mohd Harun merupakan antara kementerian yang konsisten dalam memperjuangkan hak-hak wanita tanpa mengira kaum, agama dan bangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Jelasnya lagi, di antara kejayaan yang sudah tentu meninggalkan kesan dihati rakyat adalah penganjuran program Wanita Bangkit anjuran KPWKM yang diformulakan untuk membantu ekonomi kaum wanita Malaysia pasca Covid-19, di mana ia telah memberi manfaat kepada hampir 55 ribu individu berkelayakan.


Bagaimanapun, beliau berkata hal itu tidak terjadi semasa kepimpinan Hannah Yeoh yang sekadar menumpang populariti Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menerajui KPWKM semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Hannah Yeoh mengatakan beliau sedih melihat agensi, pegawai kerajaan dan kumpulan sasar KPWKM seolah-olah dipergunakan.

“Tetapi kenapa tidak bersama-sama untuk membantu kementerian demi kepentingan rakyat,” katanya.


Tambah Mahathir, Hannah Yeoh harus sedar, apabila memegang jawatan timbalan menteri KPWKM, tidak ada sebarang kejayaan yang ada atau boleh dibanggakan dari dirinya ataupun Wan Azizah.


Semalam, Hannah menggesa Rina digugurkan daripada jemaah menteri kerana telah menjatuhkan imej portfolio disandangnya yang mengaitkan wanita “bangun lambat”, dalam video terbaharu dimuat naik di akaun media sosialnya.


Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Hannah berkata beliau sedih melihat agensi dan kumpulan sasar di bawah kementerian itu dipergunakan Rina untuk tujuan promosi.


Terdahulu, tular satu video memaparkan Rina bersama pegawai KPWKM berada di belakang pelakon dan juga usahawan, Rosyam Nor yang mempersendakan golongan wanita dengan menggunakan ayat kurang sopan seperti “suka bangun lambat”, “wanita semua lambat”, “aku nak belasah kepala korang” .


Klip pendek itu bersempena Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula esok.

bottom of page