top of page
  • admin

Hanya MBSB dan BSN tawarkan pinjaman kepada pencarum KWSP mulai 7 April


KUALA LUMPUR, 3 April- Permohonan bagi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) KWSP akan dibuka mulai 7 April ini.


KWSP dalam kenyataan menjelaskan, kemudahan yang membantu ahli mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan itu akan dilaksana dalam dua fasa. Fasa pertama membabitkan pencarum berumur 40 tahun ke atas. Permohonan bagi kemudahan itu akan kekal dibuka selama setahun, tertakluk kepada kesediaan bank yang mengambil bahagian. Ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon menerusi MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN). Manakala, tarikh permohonan untuk Fasa 2 melibatkan ahli berumur bawah 40, akan diumumkan dalam masa terdekat. Bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 KWSP, semua pencarum warganegara Malaysia bawah 55 tahun boleh membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun. Ia dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP. Jumlah pembiayaan maksimum ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun. Sementara itu, Kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang akan dikenakan bank yang mengambil bahagian bawah program tersebut adalah antara 4.0 hingga 5.0 peratus, lebih rendah dan lebih berpatutan daripada kadar pasaran semasa iaitu 8.0 hingga 15 peratus. Kemudahan itu disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong dengan pendapatan yang berpatutan bagi memastikan mereka mampu membiayai dan membayar balik tanpa menjejaskan kecukupan dan keselamatan simpanan persaraan mereka. Untuk info lebih lanjut, ahli boleh melayari portal khas disediakan bermula 5 April 2023. Ahli juga boleh melayari laman web KWSP iaittu www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di talian 03-8922 6000.


bottom of page