• Nihaba

Harap GPS beri calon PN bertanding di Sarawak pada PRU-15-Muhyiddin

15 Disember 2021

KUCHING– Biarpun Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak belum berakhir, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara tidak langsung memaklumkan Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di Sarawak secara rasmi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, Pengerusi PN itu berharap persefahaman yang dicapai untuk tidak bertembung antara satu sama lain dalam PRN Sarawak, dapat dicapai dalam PRU-15 malah ‘direstui’ oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).


“Dalam pertemuan saya bersama Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg beberapa minggu sebelum PRN, ada persefahaman untuk kita menyokong GPS kerana PRN adalah urusan negeri.

“Tetapi apabila tiba masanya nanti, kita harap ada persefahaman. Calon PN akan bertanding di kerusi kita kuasai dan yang kita fikir mampu menang bagi membantu kerajaan Pusat.

“Perkara ini sudah dilakukan Ahli Parlimen GPS ketika saya menjadi Perdana Menteri. Tanpa mereka, kita tidak dapat tubuhkan kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas sesi town hall Majlis Pemulihan Negara hari ini.

Katanya, jika PN bertanding kerusi Parlimen di Sarawak, kemenangan yang akan dicapai turut membantu mengukuhkan kedudukan GPS di negeri itu.

“Di Bintulu, BERSATU mempunyai kira-kira 20,000 ahli dan di Kemena, kita ada kira-kira 13,000 ahli yang juga pengundi berdaftar di kerusi itu.


“Jika PN bertanding, kita yakin boleh bantu kemenangan GPS, tetapi kita tidak letak calon (PRN Sarawak) walaupun ahli desak. Apa kita mahu ialah dapat bekerjasama pada masa hadapan, tetapi dengan penyertaan PN,” katanya.