top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

Harap-harap bukan 'Cilakalah' yang datang-Tok Mat

6 Oktober 2021

MASJID TANAH: UMNO berharap situasi politik yang berlaku di Melaka sehingga mengakibatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mendatangkan musibah kepada parti dan negara.


Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, apa yang telah berlaku di Melaka semalam tidak sepatutnya berlaku dan diibaratkan seperti ‘nasi sudah menjadi bubur’.


“Macam saya katakan benda ini (PRN) tak patut berlaku, tapi dah nasi jadi bubur telan sahajalah. Ini tak patut jadi pada awalnya, jadi bersiap sedia sahajalah.


“Ini kehendak hati masing-masing inilah yang akan kita hadapi. Orang tua-tua kata, muafakat punca selamat, sengketa punca celaka.


“Sengketa kita inilah dia, harapkan tak celakalah yang datang, ini kata orang Negeri Sembilan,” katanya.


Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata demikian selepas memberikan kata-kata semangat kepada pimpinan Badan Perhubungan UMNO Melaka di sini malam tadi.


Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.


Turut hadir Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

bottom of page