Nizam
Rentas negeri bakal jadi kenyataan
6 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Harapan orang ramai untuk balik kampung selangkah menjadi kenyataan apabila sasaran 90 peratus vaksinasi untuk populasi dewasa hampir dicapai.
Statistik COVIDNOW mendapati, 20,698,852 atau 88.4 peratus individu berusia 18 tahun ke atas telah melengkapkan dos vaksin COVID-19 masing-masing setakat Selasa, menjadikan sasaran tersebut hanya berbaki 1.6 peratus sahaja lagi.
Pada masa sama, kira-kira 94.5 peratus lagi sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Perkembangan positif itu sekali gus memberi gambaran bahawa sasaran 90 peratus boleh dicapai sekurang-kurangnya minggu ini.
Susulan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menggesa orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman melakukan ujian kendiri COVID-19 (RTK) sebaik sahaja kebenaran merentas negeri diberikan.
Menerusi ciapan di Twitter hari ini Khairy berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan bagi memastikan mereka bebas virus berbahaya itu sebelum bertemu ibu bapa yang sudah berusia.
Menurut beliau, individu yang sering terdedah kepada virus tersebut turut digalakkan untuk melakukan ujian tersebut secara berkala.
“1.6 peratus sebelum sempadan antara negeri dibuka. Semasa Kementerian Kesihatan telah beralih ke ujian simptomatik, kami menggalakkan individu yang berada dalam persekitaran hubungan dan mobiliti tinggi untuk melakukan ujian secara berkala.
“Sekiranya anda ingin pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu bapa berusia, lakukan ujian air liur RTK. Jaga keselamatan mereka,” katanya.
Tegas beliau, kejayaan negara membendung penularan COVID-19 sebaik sahaja aktiviti merentas negeri dibenarkan bergantung kepada sikap dan tanggungjawab semua rakyat.
“Ketika kita beralih ke fasa endemik, kita tidak perlu melibatkan pihak polis dan sebagainya bagi membuat sekatan jalan raya untuk memastikan anda sudah lengkap menerima vaksin atau melakukan ujian.
“Kini segalanya bergantung pada tanggungjawab dan tingkah laku setiap individu. Saya yakin kita boleh menghadapi cabaran ini #Reopening Safely,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kelonggaran rentas negeri akan diberikan apabila kadar vaksinasi populasi dewasa mencecah 90 peratus, berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan.
Perkara berkenaan diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 22 September lalu.