• Arissa Azman

Harapan tipis anjur pusingan kelayakan Piala Asia 2023

26 OKTOBER 2021

KAJANG: Harapan peminat bola sepak untuk menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 semakin kabur.


Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata buat masa ini kerajaan mengutamakan kepada usaha pemulihan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19 berbanding mengeluarkan dana untuk kos penganjuran pusingan kelayakan itu.


"Saya kira jika satu kejohanan itu dapat pastikan kita bawa sebilangan besar penonton atau datangkan hasil untuk pelancongan sukan, ia masih boleh difikirkan.


"Saya mahu menganjurkan (pusingan kelayakan) tapi kena ikut keutamaan ekonomi rakyat terlebih dahulu. Saya kira kerajaan sedang fokus selesai ekonomi pasca pandemik," katanya.


Ahmad Faizal berkata demikian susulan laporan berita menyatakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berminat membida satu daripada enam venue berpusat yang akan ditawarkan kepada 24 pasukan bertanding dalam saingan kelayakan pada Jun depan.


Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan saingan kelayakan itu diadakan secara berpusat dan semua perlawanan mengikut format single round robin.


Sementara itu, Ahmad Faizal menggesa para atlet agar melaporkan sebarang isu melibatkan gangguan seksual kepada pihak berkuasa, jurulatih atau ibu bapa dengan kadar segera.


"Jangan diamkan perkara ini kerana ia satu kesalahan jenayah yang kita sama-sama perlu perangi," katanya.


Beliau berkata demikian susulan pendedahan mengejut ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong mendakwa bekas jurulatihnya gemar membuat lawak lucah sebelum individu itu berdepan isu rogol melibatkan seorang penerjun negara beberapa tahun lepas.


Sehubungan itu, beliau sedang memperoleh maklumat lanjut daripada beberapa atlet terlibat selain bercadang menghubungi bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai isu kontroversi itu.


Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan atlet dihubunginya itu.




-- BERNAMA