• newsatmy

Harga bahan mentah dunia melonjak

3 Mei 2021

LONDON: Harga bahan mentah yang digunakan untuk membuat hampir semua benda sedang meningkat dan kenaikannya dilihat akan berterusan ketika ekonomi dunia sedang mencatakan pemulihan.


Daripada keluli dan tembaga hingga jagung dan kayu, komoditi memulakan 2021 dengan begitu baik, melonjak ke paras yang tidak dilihat selama beberapa tahun.


Kenaikan menyebabkan peningkatan kos barangan daripada makanan tengah hari hinggalah bangunan pencakar langit.


Ia juga mencetuskan pertumbuhan besar perdagangan dan melonjakkan jangkaan inflasi.


Dengan ekonomi Amerika Syarikat (AS) menyuntik rangsangan fiskal manakala ekonomi Eropah mula dibuka semula menerusi pelaksanaan vaksinasi, hanya sedikit sebab untuk menjangkakan akan berlaku perubahan dalam hala tuju ini.


JPMorgan Chase & Co minggu ini berkata, ia melihat rali berterusan dalam komoditi dan pertumbuhan serta pembukaan semula perdagangan akan berterusan.


Di samping itu, Rizab Persekutuan (Fed) dan bank pusat lain kelihatan tidak bimbang dengan inflasi, bermakna ekonomi boleh dibiarkan berfungsi cergas, sekali gus meningkatkan lebih banyak permintaan.


"Pemacu paling penting yang menyokong harga komoditi adalah pemulihan ekonomi global dan mempercepatkan fasa pembukaan semula," kata penganalisis komoditi di UBS Group AG, Giovanni Staunovo.


Bank itu menjangkakan komoditi secara keseluruhannya akan meningkat kira-kira 10 peratus tahun depan.


China, sumber penting bekalan dan permintaan bagi bahan mentah memainkan peranan penting, khususnya apabila kerajaan berusaha untuk mengurangkan pengeluaran logam utama seperti keluli dan aluminium.


Ia juga membeli bijirin dalam jumlah yang besar.


Harga makanan turut terkesan apabila cuaca buruk di negara pengeluar utama seperti Brazil dan Perancis menjejaskan hasil tanaman.


-Berita Harian