top of page
  • newsatmy

Harga minyak mentah di paras tertinggi dalam sebulan

15 April 2021

NEW YORK: Harga minyak melonjak ke paras tertinggi dalam sebulan ketika bekalan minyak mentah di Amerika Syarikat (AS) yang semakin berkurang memberi sokongan terhadap pemulihan permintaan global.


Niaga hadapan komoditi itu naik 4.9 peratus di New York, yang tertinggi sejak akhir Mac lalu, selepas dagangan berlegar dalam jajaran AS$5 selama berminggu.


Inventori minyak mentah AS berada pada tahap terendah sejak Februari berikutan penurunan terbesar dalam dua bulan, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga.


Pada masa sama, ukuran terhadap permintaan petrol telah meningkat lebih tinggi untuk minggu ketujuh berturut-turut. Ia membantu harga yang bergelut untuk rali melepasi AS$60 setong.


"Selalu ada faktor bearis di mana-mana pasaran, tetapi sekarang kita telah memecahkan ke paras kenaikan, ini mungkin bermaksud kita akan menguji semula paras tinggi yang lama, jika tidak melaluinya," kata Naib Presiden Eksekutif di Confluence Investment Management di St. Louis, Bill O'Grady.


Kedua-dua penanda aras niaga hadapan minyak mentah AS dan Eropah juga telah mengatasi purata pergerakan 50 hari.


Unjuran yang lebih kukuh terhadap permintaan AS, bersama-sama dengan penambahabaikan dari China, mendorong Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) untuk meningkatkan ramalannya bagi penggunaan minyak tahun ini.


Laporan IEA itu mengikuti langkah serupa oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga AS dan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk meningkatkan anggaran permintaan untuk tahun 2021.


Ketiga-tiganya menunjukkan prospek ekonomi yang semakin baik dan pengeluaran vaksin yang cepat, terutamanya di AS.


Laporan EIA menunjukkan purata empat minggu petrol AS yang dibekalkan telah meningkat beberapa minggu ini menuju ke paras sembilan juta tong sehari, sementara kilang telah kembali memproses minyak mentah pada tahap tertinggi sejak awal pandemik ini berlaku.


Ia berlaku ketika lalu lintas di New York bersedia untuk menjadi yang tersibuk pada bulan April dalam sekurang-kurangnya tujuh tahun, sementara ada yang melihat paras penggunaan petrol di seluruh negara memuncak pada musim panas.


-Berita Harian

bottom of page