top of page
  • newsatmy

Harga sawit tinggi lonjak keuntungan IOI Corp

23 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih IOI Corporation Bhd (IOI Corp) bagi suku ketiga yang berakhir pada 31 Mac 2021 melonjak kepada RM401.3 juta daripada RM100,000 pada tempoh yang sama pada 2020.


Hasil meningkat kepada RM2.86 bilion daripada RM2.03 bilion yang direkodkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.


Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, segmen perladangan mencatatkan keuntungan sebanyak RM185.9 juta dalam suku ketiga tahun kewangannya yang berakhir 30 Jun 2021, meningkat 12 peratus daripada suku ketiga tahun kewangan 2020, berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit yang tinggi, tetapi diimbangi sebahagiannya oleh pengeluaran tandan buah segar yang rendah.


Mengenai prospek masa depan, IOI Corp berkata kumpulan itu menjangkakan keseluruhan prestasi kewangan bagi suku keempat 2021 kekal baik, disokong oleh harga MSM yang tinggi dan peningkatan pengeluaran tanaman daripada segmen perladangan, serta jangkaan permintaan yang bertambah baik dalam segmen pembuatan berasaskan sumber ketika ekonomi global pulih perlahan-lahan.


"Bagi segmen perladangan kami, sejajar dengan trend bermusim, pengeluaran tanaman kami dijangka pulih pada suku keempat 2021, ditambah dengan jangkaan harga MSM kukuh.


"Bagi sub-segmen oleokimia, margin jualan dijangka tejejas oleh harga minyak sawit dan isirung sawit yang tinggi," katanya.


Pada penutup dagangan hari ini, saham IOI Corp meningkat tiga sen kepada RM4.10, dengan 1.44 juta saham diniagakan.


-BERNAMA

bottom of page