• newsatmy

Hari Seniman Negara ditukar pada 22 Mac

17 Mac 2022

PUTRAJAYA: Hari Seniman Negara yang disambut pada 29 Mei ditukar ke 22 Mac setiap tahun.


Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Tan Sri Annuar Musa berkata, pindaan tersebut telah mendapat kelulusan daripada Memorandum Jemaah Menteri.


"Hari Seniman Negara akan diadakan pada setiap 22 Mac iaitu bersempena dengan tarikh kelahiran Allahyarham Tan Sri P Ramlee," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Menurutnya, signifikan perubahan tarikh sambutan Hari Seniman Negara itu adalah untuk memperingati jasa serta sumbangan P Ramlee dalam industri kreatif di negara ini.


"Ia di samping mengangkat karya-karya P Ramlee yang bukan sahaja berjaya melahirkan lebih ramai tokoh dan pakar industri kreatif malahan memperkenalkan Malaysia di mata dunia," katanya.


Beliau berkata, selain mengiktiraf kecemerlangan penggiat industri kreatif yang terlibat dalam bidang seni, Hari Seniman Negara juga disambut untuk meningkatkan kesedaran dan apresiasi masyarakat terhadap peranan seni budaya dalam mewujudkan masyarakat Malaysia yang memiliki jati diri serta menghargai seni budaya negara tanpa mengira bangsa khususnya ke arah penyatuan Keluarga Malaysia.


"Sempena Hari Seniman Negara ini, KKMM turut berhasrat menjalinkan kerjasama strategik dengan pemegang-pemegang taruh dalam penganjuran Majlis Pelancaran Hari Seniman Negara pada 22 Mac ini bagi menghargai sumbangan peranan penggiat industri kreatif tanah air khususnya dalam membangun negara menerusi aktiviti seni, kreatif dan budaya serta usaha kerajaan memartabatkan industri kreatif ke tahap lebih cemerlang," katanya.


Sambutan Hari Seniman Negara dimulakan pada 29 Mei 2008 yang bertitik tolak daripada keputusan Jemaah Menteri pada 24 Oktober 2007 dengan Menteri Penerangan ketika itu ialah Tan Sri Dr Rais Yatim.