top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Hasni sedia bertanding kerusi parlimen pada PRU15

4 April 2022

JOHOR BARU: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Hasni Mohammad bersedia memikul tanggungjawab sebagai calon di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Bekas menteri besar Johor itu berkata, bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan Umno untuk memutuskan perkara itu.


“Saya sedia berkhidmat dan terus berkhidmat, saya serahkan kepada pucuk pimpinan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Umno negeri di ibu pejabat Umno Johor di Jalan Yahya Awal di sini malam tadi.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu ditanya sama ada berhasrat untuk bertanding pada PRU15.


Hasni, yang juga Pengerusi Barisan Nasional Johor, bertanding di kerusi DUN Benut sejak 2008, dan pada pilihan raya negeri lalu, beliau mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 5,859 undi.


Hasni juga pernah menjadi ahli parlimen Pontian untuk sepenggal selepas PRU11, yang diadakan pada Mac 2004. Hasni dilantik sebagai menteri besar Johor ke-18 pada 28 Feb 2020.


Ketika ditanya mengenai peranan Menteri Besar Johor yang baharu Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam Badan Perhubungan Umno Johor, beliau berkata ADUN Machap itu akan terlibat sebagai anggota Badan Perhubungan Umno Johor pada masa hadapan bagi memastikan kesinambungan antara kerajaan negeri dan parti itu. .


Selain itu, Hasni berkata Umno Johor telah mengarahkan semua 26 Umno Bahagian untuk menilai semula struktur parti berikutan perkembangan politik terkini di Johor susulan pilihan raya negeri, yang akan mengukuhkan lagi parti dan membolehkan wakil rakyat memberi perkhidmatan yang lebih berkesan kepada mereka.

bottom of page