top of page
  • admin

Hasrat Harimau Malaya lawan Jepun tidak kesampaian


KUALA LUMPUR, 9 April - Impian peminat tempatan untuk menyaksikan skuad Harimau Malaya berentap dengan Jepun pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), September depan tidak kesampaian selepas pasukan nombor satu Asia itu mempunyai komitmen lain. Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, bagaimanapun berkata tiga pasukan lain berminat untuk menguji skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon dalam tempoh tersebut iaitu Taiwan, China dan Kuwait. Menurut beliau pasukan negara masih berpeluang bertemu skuad Samurai Biru, sekiranya diundi bersama dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November ini, selain ketika dalam persediaan terakhir sebelum menghadapi Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari 2024. “Kita sepatutnya berjumpa Jepun tetapi mereka ada komitmen dan kita sudah ada pasukan lawan lain, mungkin kemudian kita akan jumpa (dengan Jepun). Pan Gon akan melihat peluang itu selepas November. “Sepatutnya selepas November sudah perlu lawan dengan pasukan lebih besar tetapi ada kemungkinan berjumpa pada Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, Jepun dan Korea Selatan… atau mungkin Disember sebelum pergi ke Doha,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Pada masa sama, disebabkan faktor lokasi, Hamidin secara peribadi merasakan Taiwan dan China merupakan lawan ideal pasukan negara yang merancang untuk beraksi di luar pada September, namun beliau berkata Pan Gon terlebih dahulu akan membuat pilihan.

]

Sebelum ini, Hamidin memaklumkan FAM sedang menunggu jawapan berhubung perancangan mengadakan aksi persahabatan antara Malaysia dan Jepun pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada September. Kali terakhir Malaysia membuat perhitungan menentang Jepun, yang juga juara Piala Asia empat kali, pada aksi persahabatan ialah pada Piala Cabaran Kirin 2004 yang menyaksikan pasukan negara tewas 0-4. Sementara itu, Hamidin berkata pasukan negara merancang untuk berangkat ke Doha 10 hari lebih awal sebelum saingan Piala Asia 2023 membuka tirai bermula 12 Jan hingga 10 Feb bagi melakukan persiapan terakhir. Malaysia mencipta sejarah layak secara merit ke Piala Asia selepas 42 tahun pada Jun tahun lepas. Kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Asia adalah pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun lebih empat dekad gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.- BERNAMA

bottom of page