• newsatmy

HeiTech Padu peroleh lanjutan kontrak daripada JPJ


KUALA LUMPUR,20 OKT: HeiTech Padu Bhd (HeiTech Padu) telah memperoleh dua lanjutan kontrak berjumlah lebih RM23 juta untuk menyediakan penyelenggaraan dan sokongan teknikal bagi infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta sistem mySIKAP di semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


HeiTech Padu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata dua kontrak itu bermula dari 1 Oktober 2022 hingga 31 Januari 2023.


Kontrak pertama adalah bagi penyelenggaraan dan sokongan teknikal infrastruktur ICT dan sistem mySIKAP di semua pejabat JPJ bernilai RM10.49 juta.

Ia adalah lanjutan kepada kontrak penyelenggaraan dan sokongan teknikal berjumlah RM36.25 juta yang diperolehnya tahun lepas untuk tempoh dari 6 September 2021 hingga 30 September 2022.


Kontrak kedua pula bernilai RM13.23 juta, ia adalah untuk penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan teknikal bagi perkakasan dan perisian sistem kerangka utama JPJ, ia adalah lanjutan daripada kontrak yang diterima syarikat itu pada 2020.


"Kedua-dua lanjutan kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan 31 Disember 2023," katanya.


Saham HeiTech Padu ditutup rendah pada RM0.65 semalam selepas dibuka pada RM0.66 dengan paras tertinggi harian pada RM0.69.

-- BERNAMA