Henti perang politik: Kemaslahatan rakyat perlu jadi keutamaan - Pakar
2 Ogos 2021
KUALA LUMPUR: Ahli-ahli politik digesa untuk menghentikan ‘perang’ politik dalam memastikan usaha menangani wabak COVID-19 dapat dijayakan.
Penganalisis politik dan Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Umum Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM), Sharifah Syahirah Syed Sheikh menegaskan, kemaslahatan rakyat perlu jadi keutamaan ahli-ahli politik tatkala ‘perang’ politik semakin memuncak.
“Mohon sangat supaya mereka (ahli politik) ini untuk duduk dan betul-betul fikir untuk rakyat. Parti-parti itu tidak mengapa. Tahun depan, Insya-Allah sabar sedikit, Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, waktu itu berentaplah.
“Namun, buat masa ini, tolong adakan kompromi kerana apa yang berlaku hari ini adalah realiti apa yang kita semua sudah jangka.
“Sudah tentu dalam DNA parti politik pembangkang akan mencabar balik keputusan yang telah dibuat,” katanya ketika ditemu bual dalam buletin Astro AWANI di sini, pada Isnin.
Syarifah Syahirah turut berkata inisiatif yang dilaksanakan kerajaan termasuk mewujudkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) adalah antara perkara penting yang perlu digerakkan secara bersama semua pihak.
“Seperti saya sebut sebelum ini sewaktu pilihan raya, waktu Parlimen bersidang nanti, jangan main-main politik. Tapi, inilah apa yg sedang berlaku.
“Saya amat berharap, salah satu cara adalah menerusi MPN, masukkan Ahli-ahli Parlimen yang memang cerdik pandai.
--Awani
コメント