• newsatmy

Henti serang Anwar, UMNO lebih kukuh jika tiada pengkhianat - Shamsul Iskandar

22 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menemplak kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan mempunyai agenda tersendiri termasuk memecah belahkan UMNO.


Tegasnya, kenyataan dikeluarkan pemimpin UMNO itu tidak berasas, sebaliknya kata Shamsul Iskandar, Ismail Sabri seharusnya berbincang dengan kepimpinan parti itu sebelum menyalahkan Presiden PKR itu.


"Saya tidak terkejut dengan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakib yang dengan sewenang-wenangnya menyerang dan mempersalahkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.


"Yang mengejutkan, selaku pemimpin peringkat ketiga tertinggi dalam ranking UMNO, parti yang pernah muncul sebagai parti dominan dalam Barisan Nasional (BN) sehingga Mei 2018, beliau (Ismail Sabri) tidak dapat membezakan antara signifikan kepimpinan parti.


"Sebaliknya, (beliau) mengambil pendirian tidak betul untuk menyerang dan mempersalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.


Dalam masa sama, Shamsul Iskandar menegaskan, beliau percaya bahawa UMNO akan lebih kukuh dan bersatu jika tiada pengkhianat.


"Persoalan saya, kenapa Datuk Seri Ismail Sabri perlu mempersalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim?


"UMNO punyai ketuanya dan sewajarnya dalam prinsip organisasi, beliau sebagai Naib Presiden perlu berbincang dengan Presiden beliau dan bukannya meletakkan kesalahan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Kedua, saya percaya dan yakin bahawa UMNO akan lebih kukuh dan bersatu jika tiada pengkhianat, dan tiada pengkhianatan yang dibuai dengan jawatan ekoran kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional," katanya lagi.


UMNO juga, kata Shamsul Iskandar, telah dilemahkan oleh pengkhianat sama seperti parti lain termasuk PKR.


Malah dakwanya, terdapat Ahli Parlimen yang dipaksa menghentikan sokongan terhadap parti mereka melalui ugutan.


"UMNO juga telah dilemahkan oleh pengkhianat yang bukan sahaja bermaharajalela dalam partinya tetapi juga parti-parti lain termasuklah Parti Keadilan Rakyat.


"Ahli-ahli Parlimen dipaksa menghentikan sokongan terhadap parti mereka melalui ugutan dan keluar menjadi Ahli Parlimen bebas yang menyokong kerajaan.


"Segala yang berlaku ini demi kepentingan Bersatu dan Perdana Menteri," kata Shamsul Iskandar lagi.


Mengulas lanjut mengenai perbincangan peringkat awal antara PKR dan UMNO pula, katanya, parti itu menghargai kebijaksanaan sebahagian besar pemimpin UMNO sedia ada.


Bagaimanapun, kenyataan-kenyataan pemimpin seperti Ismail Sabri katanya hanya akan merugikan UMNO.


"Ramai dari kalangan ahli UMNO menyedari bahawa parti tersebut dibayangi oleh masa lampau parti yang dilemahkan oleh korupsi, pertembungan dalaman dan ketamakan individu terhadap kuasa.


"Oleh itu, daripada mencuba menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk segala masalah UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri sepatutnya mengakui, bahawa sebahagian ahli UMNO sedar satu-satunya jalan untuk terus bertahan dan kekal relevan, adalah dengan mewujudkan kerjasama dengan parti lain atas dasar nilai yang dikongsi bersama," ujarnya.


Tambah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, nilai tersebut selaras dengan aspirasi rakyat yang didasari oleh perpaduan, demokrasi, kemakmuran bersama serta mewujudkan kerajaan yang menyebar luas intergriti dengan tadbir urus yang baik.


"Ahli UMNO turut menyedari bahawa kerjasama parti bersama Bersatu hanyalah didasari oleh keinginan Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal berkuasa atas apa cara sekalipun.


"Oleh itu, nasihat saya kepada Datuk Seri Ismail Sabri, daripada menyerang tanpa hala tuju dan asas, sepatutnya beliau mengadakan musyawarah krisis bersama Presiden UMNO dan seluruh kepimpinan parti.


"Untuk berbincang bagaimana melawan ketidakrelevanan UMNO yang didalangi Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bukannya cuba menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya lagi.


Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.