• newsatmy

Hisyam 10 bulan tak jumpa anak

29 April 2021

KUALA LUMPUR: Pelakon kelahiran Singapura, Hisyam Hamid, 35, berkongsi, sudah lebih 10 bulan tidak bertemu dengan dua permata hatinya.


Kata Hisyam, kali terakhir bersua dengan Nurish Syameliah, 15, dan Hayden, 13, pada Julai, tahun lalu.


"Saya berada di Kuala Lumpur sejak 8 Julai, tahun lalu. Dan sejak itu jugalah saya tidak pulang ke kampung dan bertemu anak-anak.


"Namun, kali terakhir saya bertemu isteri, Rosmawati Hanafi pada 11 November, tahun lalu," katanya kepada BH Online.


Justeru, kata Hisyam, dia memahami cabaran terpaksa berjauhan dengan insan yang tersayang ekoran pandemik COVID-19.


"Anda mungkin melalui situasi sama seperti saya atau ada yang lebih mencabar. Ada kenalan saya lebih setahun tidak dapat bertemu keluarga.


"Ada juga isteri bersalin sehingga anak sudah boleh merangkak, tetapi masih tidak berkesempatan untuk berjumpa. Saya mendoakan kita semua terus kuat semangat dan ingat apa tujuan hidup.


"Saya menjalankan tanggungjawab dan amanah bekerja untuk keselesaan keluarga. Apapun banyakkan bersabar dan saya hanya mampu berdoa semua ini dapat berlalu secepat mungkin. Insya-Allah," katanya.


Hisyam berkongsi perasaannya ketika majlis sidang media Tayangan Perdana Program Raya Astro 2021 secara virtual, petang semalam.


Sementara itu, Hisyam akan tampil menerusi telefilem Puaka Hari Raya sempena Aidilfitri ini.


Pelakon yang mencipta nama menerusi drama Ariana Rose itu berkata, dia berharap dengan pengisian itu mampu menggalakkan orang ramai duduk di rumah.


"Selalu kalau kita tengok telefilem pada Hari Raya cerita sedih, seperti anak tidak dapat pulang ke kampung, tetapi kali ini kami bawakan cerita hantu.


"Namun, di sebalik elemen seram, ada mesej yang mahu disampaikan, iaitu antara hubungan emak dan anak lelaki. Jadi, semoga malam raya nanti kita boleh menonton dan menghayati mesej ini," katanya.


Selain itu, pengisian Syawal tahun ini bakal disemarakkan dengan himpunan lebih 270 program hebat di semua rangkaian platform Astro termasuklah televisyen, radio dan digital.


-Berita Harian