top of page
  • newsatmy

Hisyam kena 'gam'?

3 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Bintang kelahiran Singapura, Hisyam Hamid mula bersinar selepas membintangi drama yang mencetuskan fenomena, Ariana Rose yang disiarkan di kaca TV3 pada 2014.


Sejak itu, bapa kepada dua cahaya mata, Nurish Syameliah dan Hayden mula mendapat perhatian syarikat produksi dengan deretan drama yang mengangkatnya sebagai hero.


Namun, kini, langkah Hisyam tidak serancak ketika awal diperkenalkan. Kelibatnya juga sudah tidak kelihatan di kaca TV3. Ada yang mendakwa Hisyam kena 'gam'.


Bagaimanapun, hari ini, pelakon drama Abang Bomba I Love You dan TQ Captain itu membuktikan dirinya tidak pernah buat hal dengan stesen TV3.


Selepas tujuh tahun tidak muncul di kaca TV3, Hisyam kembali membintangi drama beberapa drama termasuk Cukup Derita Itu, adaptasi novel karya Siti Rosmizah yang diarahkan Along Kamaludin Hisyam juga kali pertama digandingkan dengan Ruhainies dalam drama terbitan SR One Sdn Bhd itu.


"Tidak pernah wujud atau timbul isu saya kena 'gam' atau menimbulkan masalah dengan syarikat produksi mahupun stesen TV3. Saya akui, tidak muncul di kaca TV3 selepas drama Ariana Rose.


"Ini kerana saya mengikat kontrak selama enam tahun dengan Astro. Seperti yang diketahui, saya tidak boleh berlakon dalam stesen televisyen (TV) lain selama terikat dengan kontrak. Bagaimanapun, kontrak saya tamat, tahun lalu.


"Alhamdulillah, saya kembali membintangi drama terbitan TV3. Tak mungkin saya dapat melupakan jasa TV3 yang pernah memperkenalkan nama saya menerusi drama Ariana Rose," katanya kepada BH Online.


Hisyam mengakui, pandemik COVID-19 memberi kesan, apatah lagi, tersangkut berada di Singapura selama beberapa bulan, tahun lalu.


"Saya pernah berada dalam dilema untuk kembali ke Kuala Lumpur selepas kerajaan memberi lampu hijau kepada syarikat produksi meneruskan penggambaran, tahun lalu. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan, apatah lagi, saya perlu melunaskan penggambaran tertunggak ketika itu.


"Bagaimanapun, saya bersyukur diberi limpahan rezeki, tahun ini. Memang nampak rentak saya agak perlahan, tetapi sehingga kini, saya masih diberikan tawaran sebagai hero," katanya.


Katanya, dia bersyukur diberikan tawaran drama Hatimu Sedingin Salju arahan Bahri Umar untuk siaran TV3.


"Saya bergandingan dengan Aprena Manrose. Ia umpama sirih pulang ke gagang. Kemudiannya, saya menerima tawaran untuk membintangi drama Cukup Derita Itu.


"Banyak juga penangan kali pertama untuk drama ini. Ini juga kali pertama saya berlakon di bawah arahan Along Kamaludin dan muncul menerusi slot Samarinda.


"Semestinya peluang ini tidak akan dipersia-siakan. Saya sememangnya meletakkan harapan dan sasaran. Tekanan tetap ada, tetapi ia lebih kepada diri sendiri. Namun, saya sedaya upaya menanganinya dengan baik," katanya.


Untuk drama Cukup Derita Itu, Hisyam berkata, ia karya Siti Rosmizah dan diarahkan Along, pastinya dia mahu memberikan lakonan terbaik.


"Along amat mengutamakan soal kualiti kerja. Selagi tidak dapat apa yang dimahukan, saya akan berusaha melakukannya berulang kali hingga memuaskan hati.


"Penggambaran drama Cukup Derita Itu dijangka selesai pada Jun depan. Belum habis projek ini, saya ditawarkan pula drama lain di TV3 pada Ogos.


"Alhamdulillah, setakat ini, saya ditawarkan watak hero. Jujurnya, saya tidak pernah minta watak hero semata-mata. Namun, sudah rezeki. Jika projek ini jadi rezeki kenyataan, jadual kerja saya akan penuh hingga hujung tahun," katanya.


-Astro Awani

bottom of page