top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Hospital Serdang sediakan cukup kemudahan tambahan untuk pesakit Covid-19

25 Julai 2021

Minggu lalu, Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah meminta kerajaan mengesahkan keadaan sebenar di Hospital Serdang, Selangor.


Gesaan itu dibuat selepas terdapat dakwaan melalui video yang tular bahawa terdapat pesakit tidur atas lantai, selain ditempatkan dalam khemah yang panas dan tidak selesa.


“Sudah lebih daripada 24 jam video ini telah tular di media sosial.


“Sampai hari ini masih tiada ada seorang daripada kerajaan PN mampu untuk menjawab mengenai dan memberi solusi mengenai isu ini,” katanya.


Namun, Pengarah kesihatan negeri membidas kata-kata Adun tersebut dan berkata penggunaan khemah-khemah tambahan sebagai wad sementara turut dilaksana dikebanyakan jabatan kecemasan hospital di negeri ini.


Justeru maklum Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, gambar tular mengenai Jabatan Kecemasan Hospital Serdang merupakan keadaan sementara menunggu beberapa peralatan tiba di hospital tersebut.


“Namun kerja-kerja menyiapkan khemah menempatkan pesakit Covid-19 yang dilengkapi kemudahan udara, kipas, air bersih, tandas dan elektrik telah siap pada 21 Julai, termasuk tambahan 81 katil,” katanya menerusi kenyataan hari ini.


Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berada dalam keadaan siap siaga menghadapi lonjakan kapasiti pesakit Covid-19 terutama bagi kategori tiga dan ke atas susulan peningkatan kes di negeri ini.


“Selain itu pelaksanaan pemindahan sebahagian perkhidmatan klinikal kepada hospital swasta sedang giat dijalankan bagi membantu mengurangkan kesesakan pesakit dan memastikan mereka mendapat rawatan sewajarnya,” katanya.



--PN Online

bottom of page