top of page
  • newsatmy

Howe sah duduki kerusi panas di Newcastle

9 NOVEMBER 2021

NEWCASTLE United menamatkan pencarian ketua jurulatih baru apabila melantik Eddie Howe dengan kontrak dua setengah tahun.


Sejak Steve Bruce meninggalkan The Magpies secara persetujuan bersama, Greame Jones telah bertindak sebagai jurulatih sementara pasukan itu.


Brendan Rodgers, Paulo Fonseca, Lucien Favre dan Roberto Martinez turut dikaitkan untuk mengisi kekosongan jawatan itu manakala pengendali Villarreal, Unai Emery, dilaporkan menolak tawaran kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.


Bagaimanapun, bekas pengurus Bournemouth, Howe, sah akan menjadi pengganti Bruce selepas dilihat menjadi sebahagian penonton ketika Newcastle terikat 1-1 dengan Brighton and Hove Albion hujung minggu lalu.


Howe tidak pernah melatih sebarang pasukan sejak meninggalkan Bournemouth pada Ogos 2020 -- sewaktu mereka tersingkir ke Liga Kejuaraan.


Pengendali berusia 43 tahun itu mencuri tumpuan sepanjang dua kali bersama The Cherries, di mana pasukan itu melonjak dari Liga Dua ke EPL selain dilaporkan menolak tawaran Celtic sebelum Ange Postecoglou mengisi jawatan di kelab Glasgow berkenaan.


Sepanjang dua waktu bersama Bournemouth dan semusim di Burnley, Howe telah melalui 545 perlawanan sebagai jurulatih dan memenangi 228 daripadanya.


Dalam EPL, dia merekodkan 56 kemenangan daripada 190 perlawanan dan pencapaian terbaiknya adalah ketika membawa Bournemouth menduduki tangga kesembilan dengan 46 mata dalam musim 2016-17.


bottom of page