top of page
  • Writer's pictureNihaba

Ibarat pelanduk melupakan jerat tetapi jerat tidak melupakan pelanduk


Ibarat pelanduk melupakan jerat tetapi jerat tidak melupakan pelanduk. Inilah peribahasa yang paling sesuai bagi menggambarkan kemelut politik yang melanda negara ketika ini. Ketika UMNO di dalam keadaan yang paling lemah dan bakal terkubur, dengan tidak semena-mena peluang untuk mengembalikan kuasa terhidang di depan mata dan akhirnya Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan. Inilah bahananya apabila sekawan pelanduk tidak lagi bergerak secara berkumpulan dan mula mencari makan secara bersendirian kerana telah lupa akan jerat yang sedang menanti mangsa.


Pelbagai reaksi telah diterjemahkan oleh mereka yang berpolitik dengan perlantikan ini. Paling ketara adalah daripada Setiausaha Publisiti Nasional DAP, Tony Pua, yang mempersalahkan pembangkang yang menyaksikan UMNO kembali berkuasa.


"Ditendang keluar dari kerajaan pada Februari 2020 adalah cukup buruk.


"Tetapi berperanan utama yang membolehkan UMNO kembali berkuasa? Satu tamparan,” katanya dalam satu ciapan Facebooknya.


Pua merujuk kepada kejatuhan Pakatan Harapan tahun lalu, dan peranan yang dimainkan oleh pembangkang untuk mengasak pentadbiran Perikatan Nasional sehingga menyebabkan pengunduran diri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan.


Ketika Muhyiddin menawarkan semua parti politik untuk bekerjasama, dalam apa yang dilihat sebagai usaha terakhir untuk menyelamatkan kedudukannya, Pua adalah antara beberapa pemimpin Pembangkang yang menyarankan agar Pembangkang mempertimbangkannya. Seorang lagi pemimpin DAP lain yang berkongsi pandangan yang sama adalah Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, yang juga dikritik hebat.


Muhyidin ketika itu telah menawarkan untuk melaksanakan Reformasi Politik yang diperjuangkan PH termasuk untuk membatasi tempoh jawatan Perdana Menteri dan Undi18 dan saya sendiri di dalam penulisan saya sebelum ini menzahirkan keperluan untuk PH menerima tawaran ini kerana inilah yang diperjuangkan mereka selama ini ketika berkempen untuk PRU14, menang PRU14, menjadi Kerajaan, ditumbangkan oleh Langkah Sheraton sehinggalah ke hari ini. Tidak ada sebab untuk mereka menolak tawaran yang dibuat.


Malah Muhyiddin juga menawarkan untuk memberikan peruntukan Parlimen yang sama kepada semua Anggota Parlimen Pembangkang dan melantik Ketua Pembangkang setaraf sebagai Menteri Kanan Kabinet, sebagai pertukaran untuk sokongan mereka. Peluang untuk menjadi pembuat dasar sudah pun terbuka tetapi malangnya tawaran yang dihulurkan oleh Muhyiddin tidak disambut baik dan gagal.


Ketika sesi pengumuman yang dibuat, Muhyidin ada menyebut secara jelas apabila ramai yang menghantarkan pesanan ringkas (SMS) kepadanya untuk tidak meletakkan jawatan. Tetapi beliau sendiri perlu menunjukkan contoh betapa keluhuran perlembagaan perlu dijunjung. Mengetahui yang beliau kehilangan majoriti, beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan seperti apa yang dikehendaki oleh Perlembagaan.


Kesilapannya hanyalah satu, keluar dari kawanan pelanduk dan berteman dengan jerat. Mana mungkin pelanduk bersahabat dengan jerat? Dan akhirnya beliau sendiri yang menjadi korban.


Pada saya korban bukanlah beliau seorang, yang paling teruk dipermainkan adalah PH terutamanya Ketua Pembangkang sendiri iaitu Anwar Ibrahim. Beliau adalah maestro yang cuba mengemudi sebuah kumpulan orkestra tetapi gagal dengan teruk sekali apabila ahli kumpulan orchestra tidak mengambil endah arahan daripada seorang orchestra conductor. Hilang anak murid, hilang cikgu, malah hilang peluang untuk menjadi Perdana Menteri. Sesuai dengan jolokan beliau sebagai PM tepi kerana sehingga kini masih belum diangkat dan dilantik sebagai Perdana Menteri.


Tidak dinafikan pada dasarnya PH ingin berunding dengan Muhyiddin dan atas sebab itulah Tony Pua dan Ong Kian Ming diutus untuk membuat rundingan sebelum pengumuman dibuat Muhyiddin. Proses berjalan berminggu-minggu dan ketika PH menzahirkan kesanggupan mereka untuk bekerjasama, dengan tiba-tiba Anwar mengeluarkan ulasan yang tawaran dibuat oleh PM ketika itu bersifat suatu penghinaan. Maka segerombolan orangnya membuat kacau dan kritikan untuk menggagalkan usaha Kerjasama Bi-partisan ini. Yakin dengan blok UMNO yang diketahui Zahid Hamidi yang akan memberikan sokongan kepada beliau, akhirnya disaat-saat akhir, jatuh tersungkur kerana diperdayakan anak murid. Ibarat yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, harapan menjadi Perdana Menteri Malaysia hanya kekal menjadi angan-angan apabila blok Zahid memberikan sokongan kepada Ismail Sabri dan bakal dilantik sebagai Perdana Menteri hari ini.


Sekumpulan pelanduk sudah dapat menghidu jerat yang dipasang dan cuba membentuk kawanan yang kuat seperti dahulu tetapi dihalau semula oleh kawanan yang satu lagi dan akhirnya kesemua pelanduk terjerat dengan perangkap yang dipasang pemburu. Sangat menyedihkan.


Apapun, nasi sudah pun menjadi bubur. Kita tunggu dan lihat undi percaya yang bakal dibuat di dalam sidang Dewan Rakyat tidak lama lagi bagi menentukan keabsahan kerajaan yang baru ini.


Ya, kita tidak nafikan yang Muhyiddin merupakan seorang yang berjiwa besar bukan sahaja membuka laluan untuk kerjasama rentas politik atau Bi-partisan demi kesejahteraan rakyat dan negara, malah beliau melakukan perkara yang sama apabila sanggup menyokong Ismail Sabri dari UMNO yang beliau sudah sedia maklum bahawasanya merekalah yag menjadi dalang di dalam mensabotaj kerajaan yang dipimpin beliau. Ini semua untuk apa, sudah tentulah untuk rakyat dan negara.


Adalah wajar dan munasabah apabila dikhabarkan ramai yang menangis sedih ketika beliau mengumumkan untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Yang pastinya, beliau telah pun menyatakan komitmen beliau untuk tidak berundur dari arena politik dan inilah masa yang paling sesuai untuk menguatkan jentera Parti BERSATU di dalam menghadapi PRU15 tidak lama lagi.


Selamat maju jaya Abah.




--PN Online

bottom of page