• newsatmy

Ibrahimovic tandatangan kontrak baru di Milan

23 April 2021

ZLATAN Ibrahimovic menandatangani kontrak baru selama setahun bersama pasukan gergasi Serie A, AC Milan.


Pemain berusia 39 tahun itu kembali menyertai Rossoneri menerusi perpindahan percuma pada Disember 2019 sehingga penghujung musim itu dengan pilihan boleh memanjangkan tempohnya di sana.


Ibrahimovic kemudian menandatangani kesepakatan baru di San Siro bagi kempen musim ini dan pemain veteran berkenaan kini bersetuju untuk melanjutkannya selama 12 bulan lagi.


Penyerang Sweden itu telah menjaringkan 17 gol dalam kesemua kejohanan musim ini biarpun terganggu dengan masalah kecederaan -- termasuk 15 gol daripada 17 perlawanan Serie A.


Ibrahimovic tidak pernah menyembunyikan hasratnya untuk kekal di Milan dan kelab itu mengesahkan semalam bahawa kesepakatan baru itu telah dimeterai.


Bekas pemain Manchester United, Paris Saint-Germain (PSG) dan Barcelona itu, yang telah menjaringkan 84 gol dalam 130 penampilan sepanjang bersama Milan, membuat satu kiriman media sosial sambil menulis "saga berterusan".


Dia mendedahkan bahawa ia bukanlah satu keputusan yang mudah untuk memberikan komitmen kepada skuad bimbingan Stefano Pioli itu, yang kini berada di tangga kedua Serie A -- ketinggalan 10 mata di belakang satu lagi bekas pasukan Ibrahimovic, Inter Milan.


"Saya amat-amat gembira, di sini adalah rumah saya.


"Saya telah menunggu hari ini selama setahun, saya amat gembira.


"Saya sentiasa katakan yang saya berasa seperti di rumah di sini: mereka yang bekerja untuk Milan, rakan sepasukan saya, jurulatih, penyokong yang saya rindukan di stadium, ia membuatkan saya berasa baik.


"Jika boleh, saya mahu kekal di sini sepanjang hidup saya. Bekerja dengan Pioli merupakan perkara mudah sejak hari pertama: dia mempunyai mentaliti yang tepat, setiap hari dia akan menyalurkan tenaga yang membentuk pasukan ini, di mana dia akan mengeluarkan yang terbaik," katanya.


-Astro Awani